Nilai semula peranan institut memandu dalam keselamatan jalan raya

Nilai semula peranan institut memandu dalam keselamatan jalan raya

INSTITUT memandu sebenarnya melaksanakan fungsi pendidikan sivik yang penting.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali berlaku tragedi jalan raya, pastinya naratif awam lazimnya bergerak dalam dua arah. Pertama, masyarakat cenderung menyalahkan pemandu yang dianggap cuai. Kedua, pihak awam menuntut penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas daripada pihak berkuasa.

Dalam konteks Malaysia yang mempunyai lebih 30 juta kenderaan berdaftar menyebabkan kualiti latihan pemanduan memberi kesan langsung kepada keselamatan awam, produktiviti ekonomi dan kesejahteraan sosial. Oleh itu, institut memandu perlu berperanan sebagai barisan hadapan dalam ekosistem keselamatan jalan raya negara.

Statistik menunjukkan lebih 5,000 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan setiap tahun, manakala ratusan ribu kemalangan berlaku dalam tempoh setahun.

Data turut menunjukkan faktor manusia menyumbang lebih 80 peratus kepada punca kemalangan, termasuk pemanduan agresif, kelajuan berlebihan dan kegagalan mematuhi peraturan.

Di sinilah institut memandu memainkan peranan penting sebagai ruang sosialisasi awal budaya pemanduan. Jurulatih tidak sekadar mengajar kemahiran teknikal tetapi membentuk tanggungjawab dan kesedaran keselamatan dalam diri pelatih.

Melalui Kurikulum Pendidikan Pemandu yang diselia Jabatan Pengangkutan Jalan, setiap calon menjalani latihan teori, praktikal dan penilaian kompetensi sebelum layak memandu di jalan raya.

Walaupun sering dipandang rendah dengan stigma ‘kedai lesen’, namun institut memandu sebenarnya melaksanakan fungsi pendidikan sivik yang penting. Mereka memperkenalkan konsep pemanduan defensif, kesedaran risiko dan tanggungjawab berkongsi jalan raya dengan pengguna lain. Dalam banyak keadaan, jurulatih turut memikul beban membetulkan sikap pelatih yang datang tanpa disiplin atau kesedaran keselamatan asas.

Selain itu, institut memandu berfungsi sebagai penapis keselamatan, khususnya bagi golongan muda berusia 16 hingga 25 tahun yang dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi dalam statistik kemalangan.

Melalui latihan berstruktur, hanya individu yang mencapai tahap kompetensi minimum dibenarkan memandu secara bebas. Tanpa sistem ini, pembelajaran tidak formal melalui rakan atau keluarga boleh mengekalkan tabiat pemanduan berisiko.

Pelaksanaan sistem e-testing menggunakan teknologi sensor dan kamera meningkatkan ketelusan serta mengurangkan unsur subjektif dalam penilaian. Transformasi ini memperkukuh kredibiliti institut memandu sebagai institusi latihan profesional yang lebih telus dan berstandard.

Institut memandu berpotensi berkembang sebagai pusat pendidikan pemanduan hijau yang menekankan penjimatan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon, sekali gus menyokong agenda kelestarian negara.

Selain itu, mereka juga boleh menawarkan kursus lanjutan seperti latihan pemandu warga emas, keselamatan motosikal dan program penyegaran kemahiran. Pendekatan ini menjadikan institut memandu sebagai pusat pembangunan kompetensi mobiliti sepanjang hayat. Di sebalik sistem ini, jurulatih pemanduan bertindak sebagai guru, pembimbing dan pengawal keselamatan dalam masa yang sama. Kesabaran dan dedikasi mereka membentuk generasi pemandu baharu yang akan berkongsi jalan raya dengan masyarakat. –UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH & AIRIN YUSMIRA MOHD. YUSOF
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Kampus Rembau & Pengarah Pusat Latihan Memandu Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN