PETALING JAYA: Meta Bright Group Berhad (Meta Bright) melalui anak syarikatnya yang dimiliki sebanyak 51 peratus, Meta Bright Chargesini Sdn Bhd (MBC) memperoleh kemudahan perbankan berjumlah sehingga RM8.5 juta daripada AmBank (M) Berhad.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Meta Bright berkata, pakej pembiayaan strategik ini berfungsi sebagai pemangkin modal utama untuk fasa seterusnya pengembangan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) kumpulan.
Katanya, struktur pembiayaan terdiri daripada dua bahagian iaitu pinjaman pertama sehingga RM8 juta untuk membiayai sebahagian sehingga 80 peratus daripada perbelanjaan modal yang diperlukan untuk pembelian, pemasangan dan pentauliahan port pengecasan EV baharu.
Sementara itu, pinjaman kedua berjumlah tidak melebihi RM500,000 pula diperuntukkan untuk membiayai Insurans Tempoh Tetap (LTA) atau Takaful Tempoh Tetap (LTT) bagi perlindungan nyawa pegawai utama, termasuk pengarah atau pemegang saham utama syarikat.
Tambahnya, sebarang baki yang tidak digunakan dalam pinjaman kedua akan dibatalkan.
Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, perolehan kemudahan pembiayaan sebanyak RM8.5 juta daripada AmBank merupakan satu pencapaian komersial utama bagi pelan pembangunan infrastruktur EV kumpulan.
“Kini, kumpulan bergerak melepasi fasa asas dan melangkah dengan tegas ke fasa pengembangan agresif. Dengan adanya struktur pembiayaan projek yang khusus, kami dapat menggerakkan aset dengan lebih pantas dan cekap, tanpa mengikat modal kerja teras syarikat.
“Bersama rangkaian terkemuka ChargeSini di pasaran, keutamaan syarikat sekarang adalah untuk memperluaskan capaian fizikal dengan pantas, menambah bahagian pasaran dan memastikan aliran hasil berulang berkualiti tinggi untuk kumpulan,” katanya dalam kenyataan.
Sejak pengembangan bahagian tenaga kumpulan ke dalam pasaran EV di Malaysia, MBC telah mengoperasikan 25 stesen pengecasan, yang merangkumi 82 titik pengecasan, meliputi 67 pengecas arus ulang-alik (AC) dan 15 pengecas arus terus )DC).
Pelaksanaan pantas ini disinergikan melalui rakan ekuitinya, ChargeHere EV Sdn. Bhd. iaitu pengendali ChargeSini.
Bersama-sama, mereka kini menduduki kedudukan teratas yang tidak dipertikaikan dalam kedudukan Pengendali Titik Pengecasan (CPO) di Malaysia.
ChargeSini pada masa ini mengendalikan 1,110 titik pengecasan di seluruh negara, terdiri daripada 761 poin AC dan 349 poin DC.










