Tempahan Proton e.MAS 7 PHEV cecah 5,000 unit - Utusan Malaysia

Tempahan Proton e.MAS 7 PHEV cecah 5,000 unit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempahan kenderaan hibrid plug-in (PHEV) keluaran Proton, e.MAS 7 PHEV mencecah lebih 5,000 unit setakat ini, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap teknologi itu di pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, perkembangan tersebut mencerminkan tahap penerimaan pengguna yang semakin meningkat terhadap teknologi elektrifikasi, khususnya dalam segmen PHEV yang dilihat lebih praktikal untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, peningkatan tempahan itu turut disokong oleh kefahaman pengguna yang semakin meluas mengenai konsep dan penggunaan PHEV, hasil pendedahan berterusan termasuk menerusi media dan platform digital.

“Ketika ini, pengguna di Malaysia sudah mula memahami teknologi PHEV.

“Ini dapat dilihat apabila perbincangan di media sosial menunjukkan orang ramai mampu berkongsi dan menjawab persoalan berkaitan teknologi tersebut.

“Berdasarkan tempahan yang diterima, hala tuju kami setakat ini adalah tepat walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan,” katanya semasa Bengkel Teknologi Proton e.Mas 7 PHEV di sini semalam.

Menurut beliau, pendekatan memperkenalkan teknologi secara berperingkat turut membantu meningkatkan penerimaan pasaran.

“Ia bermula dengan kenderaan hibrid elektrik (HEEV), diikuti PHEV sebelum memperkenalkan teknologi lebih baharu seperti kenderaan elektrik julat lanjutan (REEV).

“Pendekatan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan pengguna selain mengurangkan keperluan pendidikan pasaran yang lebih besar sekiranya teknologi baharu diperkenalkan secara mendadak.

“Jika sesuatu teknologi yang benar-benar baharu diperkenalkan tanpa pendedahan awal, ia memerlukan usaha pendidikan yang lebih besar.

“Justeru, kami mengikuti perkembangan semasa pasaran dan tahap kefahaman pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemilihan PHEV sebagai fokus semasa juga mengambil kira kesesuaian penggunaan di Malaysia, termasuk faktor infrastruktur dan corak pemanduan pengguna.

“Secara keseluruhan, PHEV masih berada pada landasan yang baik di pasaran.

“Namun, sama ada ia lebih baik berbanding teknologi lain bergantung kepada senario penggunaan masing-masing,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN