Mercun makin mengganggu ketenteraman awam?

Mercun makin mengganggu ketenteraman awam?

GANGGUAN bunyi yang membingitkan boleh menjejaskan kesihatan terutamanya kepada warga emas yang uzur, bayi, pesakit malah haiwan peliharaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENINGKATAN penggunaan mercun sepanjang musim perayaan khususnya ketika sambutan Aidilfitri agak luar biasa dan membimbangkan. Selain boleh menyebabkan insiden kecederaan dan kebakaran ia juga boleh mengganggu ketenteraman awam.

Begitu mudah sekali bahan letupan sebegini diletupkan secara bebas di kawasan awam tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

Tempoh penjualan mercun dan bunga api yang dibenarkan hanyalah 25 hari sebelum Aidilfitri sehingga lima hari selepas raya.

Namun apa yang dikesalkan walaupun gerai jualan mercun telah pun ditutup sepenuhnya menjelang tamat tempoh permit yang diluluskan, namun bunyi dentuman mercun masih kedengaran di sana-sini ketika Syawal memasuki minggu kedua.

Undang-undang di negara ini hanya membenarkan penjualan dan penggunaan dua kategori utama bunga api untuk perayaan iaitu jenis Pop-Pop dan Happy Boom, yang tidak mengandungi bahan bakar berbahaya dan tidak mengganggu komuniti lain.

Namun malangnya, pelbagai mercun lain yang menghasilkan bunyi letupan terlalu kuat turut lolos dijual berleluasa dan sering menjadi pilihan utama pembeli.

Gangguan bunyi yang membingitkan itu boleh menjejaskan kesihatan terutamanya kepada warga emas yang uzur, bayi, pesakit malah haiwan peliharaan.

Walaupun tidak ada garis panduan khusus atau prosedur operasi piawai (SOP) mengenai tatacara permainan mercun yang betul, namun setidak-tidaknya langkah-langkah keselamatan seperti yang dianjurkan oleh pihak berkuasa wajar dipatuhi.

Bermainlah di kawasan lapang dan jauh dari kawasan kediaman, bukan bermain di bahu jalan, berhampiran hospital, masjid atau surau atau di belakang rumah jiran sehingga boleh mencetuskan suasana tidak harmoni serta menimbulkan keresahan dan kerisauan masyarakat.

Lebih membimbangkan apabila lantunan mercun yang tersesat boleh mencederakan mereka yang tidak bersalah serta mengakibatkan kerosakan besar kepada harta benda awam dan pada masa yang sama tiada sesiapa mengaku bertanggungjawab di atas kecuaian itu.

Dalam pada itu, perlu juga diambil perhatian bahawa faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan mercun di antaranya ialah pengaruh media sosial yang mendorong orang ramai berkumpul di lokasi tumpuan untuk merakam keunikan bunga api tanpa menghiraukan aspek keselamatan.

Selain itu juga, budaya bermain mercun sering kali dikira sebagai tradisi, yang menyebabkan ramai menutup mata terhadap risiko keselamatan harta benda orang lain.

Bahkan, sambutan menggalakkan dari pembeli serta permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan turut menjadi punca mengapa aktiviti penjualan mercun sudah semakin sukar untuk dihapuskan.

Tahun lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan 141 kes penyeludupan mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM22,692,963 di seluruh negara. Punca utama berlakunya kes penyeludupan ini tidak lain bagi memenuhi permintaan pasaran yang tinggi.

Justeru, siapakah yang harus disalahkan? Sudah tentu lonjakan permintaan dari pengguna menjadi pemangkin kepada pertambahan jumlah kes penyeludupan setiap tahun.

Insiden kebakaran gerai jualan bunga api dan mercun di beberapa lokasi yang turut melibatkan kerosakan dan kemusnahan harta benda awam baru-baru ini seharusnya menjadi peringatan bahawa tidak mustahil suatu hari nanti boleh sahaja berlaku malapetaka yang lebih besar melibatkan kehilangan nyawa.

Walaupun kerajaan telah mengarahkan agar SOP gerai jualan bunga api di seluruh negara disemak semula, namun bak kata pepatah, malang tidak berbau. Jika tiada tindakan drastik bermula sekarang maka jangan menyesal di kemudian hari. – UTUSAN

MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN