PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima satu panggilan kecemasan berhubung kebakaran membabitkan sebuah unit kediaman di tingkat lapan sebuah pangsapuri di Kajang malam tadi, yang didapati menyimpan sejumlah besar mercun.
Dalam kejadian 10.42 malam itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai 13 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi serta bantuan BBP Semenyih bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 13 kilometer.
“Setibanya pihak bomba di lokasi 13 minit kemudian, mendapati mendapati bilik yang mengandungi bahan letupan dipercayai mercun terbakar 80 peratus.
“Api telah berjaya dikawal pada pukul 11.19 malam selepas kerja-kerja pemadaman dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, Komander Operasi melaporkan bahan letupan itu terdapat di keseluruhan kawasan rumah.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan dan kerja-kerja overhaul dijalankan,” jelasnya. – UTUSAN










