KOTA BHARU: Polis menahan dua individu, masing-masing seorang wanita dan seorang lelaki, bagi membantu siasatan kebakaran melibatkan gerai menjual bunga api dan mercun di hadapan sebuah kedai makan di Batu 3, Wakaf Che Yeh, dekat sini semalam.
Kedua-dua individu yang merupakan pemilik dan penjaga premis itu ditahan pada pukul 8.30 malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian berhubung bahan api atau bahan letupan yang boleh menyebabkan kebakaran, kecederaan atau kerosakan harta benda.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku di hadapan sebuah premis kedai makan yang dimiliki oleh seorang wanita berusia 44 tahun.
Katanya, semakan mendapati wanita berkenaan memiliki permit atau lesen untuk menjalankan perniagaan mercun dan bunga api di kawasan tersebut.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan. Sebelum itu, polis menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 10.13 pagi daripada orang awam melalui talian kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Azmir berkata, siasatan yang dijalankan oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mendapati kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.
Katanya, ia melibatkan sambungan wayar elektrik dari premis kedai makan berkenaan ke lampu berwarna-warni yang terdapat di gerai mercun dan bunga api tersebut.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kebakaran dan letupan melibatkan empat khemah menjual bunga api dan mercun sebelum merebak ke sebuah kedai makan di Wakaf Che Yeh di sini pagi tadi, didakwa berpunca daripada tindakan seorang wanita membakar bunga api sebelum membelinya.
Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, kejadian pada pukul 10.16 pagi itu berlaku akibat tindakan tidak bertanggungjawab pelaku yang dipercayai pekerja kedai makan terlibat atas alasan untuk diuji.-UTUSAN










