BUKIT MERTAJAM: Pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM211,650 dirampas Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang dalam satu operasi intra agensi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru arah Utara, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini, semalam.
Rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang hasil maklumat awam berkaitan aktiviti pengedaran mercun dan bunga api tanpa permit yang sah, menerusi operasi bersama Unit D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT).
Menurut Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Superitenden Fakharuddin Amri Sanusi, pemeriksaan ke atas sebuah lori ‘bonded’ mendapati, kenderaan tersebut membawa sejumlah besar kotak disyaki mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenis.
“Seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit sah untuk penyimpanan bahan letupan,” katanya di sini, hari ini.
Fakharuddin Amri berkata, hasil rampasan melibatkan 206 kotak mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM131,650 selain sebuah lori bonded lima tan bernilai kira-kira RM80,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM211,650.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki, menyimpan atau mengawal bahan letupan tanpa kebenaran yang sah. – UTUSAN










