Membina Sekolah Sejahtera Mental

Membina Sekolah Sejahtera Mental

SEKOLAH Sejahtera Mental menjadi keperluan dalam sistem pendidikan masa kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN dunia pendidikan masa kini menuntut perhatian serius terhadap kesejahteraan mental warga sekolah.

Konsep ‘Sekolah Sejahtera Mental’ penting bagi memastikan pendidikan yang holistik dan berkesan dapat direalisasikan.

Dalam konteks sekolah, murid yang sejahtera mentalnya lebih fokus dalam pembelajaran, berinteraksi secara positif dan menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik. Sebaliknya, murid yang tertekan berisiko menghadapi masalah disiplin, ponteng sekolah dan kemerosotan pencapaian akademik.

Guru memainkan peranan penting dalam membentuk Sekolah Sejahtera Mental. Dengan kepekaan dan empati, guru dapat mengesan tanda awal tekanan seperti kemurungan atau kebimbangan, seterusnya membantu murid mengurus emosi secara lebih sihat dan berkesan.

Selain itu, kepimpinan sekolah perlu merangka dasar yang menyokong kesejahteraan mental. Pentadbir wajar memperkukuh polisi antibuli, melaksanakan program intervensi psikososial serta mewujudkan budaya sekolah yang harmoni.

Persekitaran kerja dan pembelajaran yang positif akan menggalakkan hubungan interpersonal yang sihat dalam kalangan warga sekolah.

Unit bimbingan dan kaunseling pula perlu berfungsi secara proaktif melalui sesi kaunseling individu, aktiviti kelompok dan program pembangunan diri.

Kaunselor sekolah berperanan sebagai sokongan profesional dalam membantu murid menangani isu peribadi, sosial dan akademik dengan lebih berkesan.

Kerjasama erat antara sekolah dan ibu bapa melalui komunikasi berkesan serta program keibubapaan dapat memperkukuh sokongan emosi murid di rumah dan di sekolah.

Dalam era digital, penggunaan media sosial yang tidak terkawal boleh memberi kesan kepada kesihatan mental murid. Oleh itu, literasi digital perlu diperkasa agar murid bijak mengurus penggunaan teknologi secara seimbang dan bertanggungjawab.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan murid juga wajar diperkukuh. Kaedah yang interaktif, fleksibel dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan dapat mengurangkan tekanan akademik serta merangsang minat belajar.

Sokongan rakan sebaya melalui program mentor-mentee dan rakan pembimbing turut membantu murid merasa dihargai dan tidak keseorangan. Aktiviti kokurikulum pula membolehkan murid mengekspresikan diri serta mengimbangi tekanan akademik.

Kesedaran tentang kesihatan mental perlu dipupuk secara berterusan melalui kurikulum dan aktiviti sekolah. Pada masa sama, stigma terhadap isu kesihatan mental perlu dihapuskan agar murid berani mendapatkan bantuan tanpa rasa takut atau malu.

Guru juga perlu diberi perhatian dari segi kesejahteraan mental agar mereka mampu melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Sokongan profesional, pengurusan beban kerja yang seimbang dan program kesejahteraan guru amat penting dalam hal ini.-UTUSAN

CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN