Maruah murid bukan bahan gurauan

Maruah murid bukan bahan gurauan

MARUAH setiap murid mesti sentiasa dipelihara kerana seorang guru bukan hanya pengajar tetapi cerminan nilai kehidupan seorang insan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan seorang guru memperlekeh seorang murid, malah turut menyentuh pekerjaan ibu bapanya dengan nada yang tidak wajar. Insiden ini segera mengundang reaksi masyarakat dan wajar dijadikan titik muhasabah bersama, khususnya dalam kalangan warga pendidik.

Sebagai warga emas yang pernah berkhidmat sebagai guru hampir 30 tahun, saya benar-benar tersentak melihat kejadian ini. Saya tertanya-tanya, adakah ini generasi pendidik yang akan kita sandarkan untuk membentuk masa hadapan anak-anak? Adakah roh dan niat asal seorang guru semakin terhakis dalam sebahagian diri pendidik hari ini?

Lebih membimbangkan, kita perlu jujur bertanya sama ada terdapat dalam kalangan guru yang sudah hilang pertimbangan dan integriti, lalu hadir ke sekolah sekadar melaksanakan rutin tanpa penghayatan terhadap amanah mendidik. Apabila perkara seperti ini berlaku, kita tidak boleh menafikan setitik nila boleh merosakkan sebelanga, sehingga mencalarkan imej profesion perguruan yang sekian lama dihormati.

Kita juga wajar menilai semula sama ada profesion ini dipilih dengan kesedaran tanggungjawab atau sekadar menjadi laluan kerjaya tanpa penghayatan mendalam. Jika pengajaran hanya dilihat sebagai pekerjaan, bukan amanah, maka kita sedang berdepan krisis nilai yang serius dalam dunia pendidikan.

Dalam konteks ini, saya teringat kepada kata-kata hikmah Allahyarham Farid Ismeth Emir: “Menegur jangan sampai menghina, mendidik jangan sampai mengherdik, meminta jangan sampai memaksa, memberi jangan sampai mengungkit.” Ungkapan ini amat relevan dalam dunia pendidikan kerana  menuntut keseimbangan antara disiplin dan kemanusiaan.

Seorang guru perlu menegur dengan membina, bukan menjatuhkan. Teguran yang menghina hanya meruntuhkan keyakinan murid. Dalam masa sama, proses mendidik memerlukan kesabaran, bukan herdikan yang boleh memadam semangat belajar. Setiap murid pula memiliki kemampuan berbeza, maka bimbingan perlu hadir dengan empati, bukan tekanan.

Apabila seorang guru memperlekeh murid, kesannya tidak terhenti di bilik darjah sahaja. Ia boleh membentuk budaya tiru-meniru dalam kalangan pelajar lain, sekali gus membuka ruang kepada ejekan dan buli. Sekolah yang sepatutnya menjadi ruang selamat akhirnya berubah menjadi tempat yang menekan emosi murid.

Lebih jauh, insiden seperti ini turut menghakis kepercayaan masyarakat terhadap profesion perguruan. Guru selama ini dipandang sebagai pembina masa depan negara, namun satu tindakan tidak beretika boleh meruntuhkan keyakinan yang dibina bertahun-tahun.

Oleh itu, latihan dan pembangunan profesional guru perlu terus diperkukuh, bukan sahaja dalam aspek pedagogi tetapi juga kecerdasan emosi, komunikasi berhemah dan pembinaan sahsiah. Guru perlu sentiasa bermuhasabah agar kekal selari dengan amanah yang dipikul.

Dalam bilik darjah, guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi pembentuk sahsiah dan contoh teladan. Setiap kata dan tindakan guru diperhati serta diserap oleh murid tanpa tapisan. Justeru, setiap tutur kata perlu ditimbang dengan bijak sebelum dilontarkan.

Apa yang mungkin dianggap gurauan oleh orang dewasa boleh meninggalkan luka emosi yang mendalam kepada murid, lebih-lebih lagi apabila melibatkan maruah keluarga. Murid tidak menilai seperti orang dewasa sebaliknya mereka menyerap dan mengingati.

Kita perlu kembali kepada asas bahawa setiap pekerjaan yang halal adalah mulia. Menghormati ibu bapa murid bermakna kita turut memelihara maruah mereka di mata anak-anak.

Akhirnya, pendidikan bukan sekadar soal kecemerlangan akademik tetapi proses memanusiakan manusia. 

Dalam usaha itu, maruah setiap murid mesti sentiasa dipelihara kerana seorang guru bukan hanya pengajar tetapi cerminan nilai kehidupan seorang insan.-UTUSAN

SAMIHA MOHD. SALLEH

Kota Tinggi, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN