Kelebihan ceburi bidang perakaunan di universiti awam

Kelebihan ceburi bidang perakaunan di universiti awam

PROGRAM Sarjana Muda Perakaunan yang ditawarkan oleh universiti awam di Malaysia mempunyai kualiti yang setanding di peringkat global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi calon tahun 2025 baru-baru ini, antara isu yang hangat dibincangkan adalah pemilihan program dan institusi yang akan dipohon.

Antara program universiti yang mendapat sambutan luar biasa adalah program perakaunan. Saban tahun kita mendengar isu tawaran yang disediakan untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di universiti awam adalah jauh lebih rendah berbanding permintaan pelajar.

Ada lima faktor utama mengapa program Sarjana Muda Perakaunan yang ditawarkan oleh universiti awam sering kali menjadi rebutan.

Kos pengajian rendah
Sepanjang tempoh pengajian tiga hingga empat tahun, anggaran kos pengajian, penginapan serta lain-lain perkhidmatan adalah sekitar RM15,000 hingga RM20,000, bergantung kepada lokasi universiti awam.

Jumlah kos ini secara relatifnya adalah amat rendah berbanding kos pengajian di universiti swasta atau program profesional.

Program diiktiraf Akta Akauntan
Sehingga kini, Jadual 1 Akta Akauntan 1967 menyenaraikan 22 program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang ditawarkan oleh universiti awam dan universiti swasta. Daripada jumlah tersebut, 15 program ditawarkan oleh universiti awam.

Selepas menggenggam segulung ijazah, mereka perlu mencari pengalaman dan kemahiran teknikal sebelum layak diiktiraf sebagai akauntan bertauliah. Mereka juga perlu menggilap sikap profesional dan beretika, ciri-ciri peribadi yang unggul, serta kemahiran profesional.

Program diiktiraf Institut Akauntan
Bagi sesiapa yang ingin memegang gelaran akauntan bertauliah (CA) dan menawarkan perkhidmatan perakaunan kepada awam di Malaysia, wajib mendaftar sebagai ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Sehubungan itu, program Sarjana Muda Perakaunan yang ditawarkan oleh universiti awam sudah semestinya telah menerima pengiktirafan MIA. Ini adalah bagi memastikan graduan universiti berada di landasan yang betul sebelum bergelar akauntan.

Program diiktiraf MQA
Sebagai badan jaminan kualiti kebangsaan, antara fungsi utama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) adalah menjamin kualiti institusi pengajian tinggi dan program serta memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan.

MQA juga mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) sebagai rujukan bakal pelajar serta ibu bapa sebelum membuat permohonan ke institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Di sinilah kekuatan program yang ditawarkan oleh universiti awam, di mana ia telah melalui proses jaminan kualiti yang terperinci dan sistematik oleh MQA dan disenaraikan di dalam MQR.

Ini sekaligus memberi petunjuk bahawa program-program ini telah memenuhi kriteria dan standard yang digariskan dan mencapai kualiti yang ditetapkan.

Penarafan QS
Baru-baru ini, pihak Quacquarelli Symonds (QS), sebuah firma analitik yang menjalankan penarafan universiti paling berpengaruh di seluruh dunia telah menerbitkan ranking universiti dunia mengikut subjek perakaunan dan kewangan.

Berdasarkan laporan tersebut, didapati beberapa program yang ditawarkan oleh universiti awam telah dinobatkan sebagai antara program perakaunan dan kewangan terbaik dunia.

Penarafan ini menjadi bukti bahawa kualiti pendidikan tinggi yang ditawarkan, khasnya oleh universiti awam menerima pengiktirafan dunia.

Justeru, berdasarkan faktor-faktor itu, tidak dapat dinafikan bahawa program Sarjana Muda Perakaunan yang ditawarkan oleh universiti awam mempunyai kualiti yang setanding di peringkat global.

Graduan yang dilahirkan memenuhi keperluan industri dan pasaran serta menjadi penyumbang utama kepada bilangan akauntan bertauliah. – UTUSAN

PROFESOR DR. NORHANI ARIPIN
Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN