CUTI panjang sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sudah sampai penghujungnya. Namun, masih ada lagi dalam kalangan kita menghabiskan cuti raya selepas minggu pertama perayaan.
Justeru, mereka yang pulang bercuti di kampung, mula menyusun langkah untuk kembali ke tempat kerja masing-masing.
Syukur Alhamdulillah kerana kepulangan anda semua untuk beraya di kampung sudah berjaya apabila segala-galanya selamat.
Apa yang diharapkan biarlah kepulangan untuk kembali ke tempat kerja dalam keadaan selamat semuanya.
Untuk menjamin segalanya dalam keadaan selamat, siapa sahaja yang memandu kenderaan hendaklah memandu dengan penuh berhemah dan cermat.
Ingatlah pesan orang tua-tua, biar lambat asalkan selamat. Memang benar apa yang diperkatakan oleh datuk nenek dahulu, jika semuanya memandu dengan cermat dan perlahan, jika terjadi sesuatu di hadapan mudah untuk mengelak.
Kalau agak terasa mengantuk, berhenti dan berehat dahulu. Tidurlah walaupun sekejap, mata akan lebih segar jika sudah bangun tidur.
Apabila bangun dari tidur, basuhlah muka terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan.
Kalau dalam sesebuah kenderaan ada lebih seorang yang boleh memandu, eloklah jika memandu secara bergilir-gilir.
Seeloknya semasa dalam perjalanan, banyakkan membaca ayat-ayat suci al-Quran. Baca al-Quran dalam telefon bimbit pun tidak mengapa.
Kalau boleh janganlah terlalu bersuka ria dalam kereta. Mungkin alasan anda untuk mengelak dari mengantuk. Tetapi jika riuh rendah dengan gelak tawa dalam kenderaan, dibimbangi boleh menyebabkan pemandu gagal tumpuan semasa memandu.
Jika boleh bergeraklah pada waktu siang hari kerana dalam suasana siang hari, lebih cerah mata memandang.
Namun, sekiranya tidak dapat mengelak dan perlu juga untuk pulang waktu malam, seeloknya tidurlah secukupnya pada siang hari supaya badan anda lebih segar untuk memandu pada sebelah malam.
Apapun, saya doakan semoga perjalanan pulang anda untuk kembali ke tempat kerja, semuanya dalam keadaan selamat bagi menyambung tugas mencari rezeki setelah beberapa hari bercuti di kampung halaman.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










