Harimau Malaya perlu bangkit dengan bermaruah

Harimau Malaya perlu bangkit dengan bermaruah

HARIMAU Malaya perlu menilai semula kelemahan, mengambil pengajaran dan memperbaiki segala kekurangan agar kesilapan sama tidak berulang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERAKHIRLAH sudah perjuangan Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027. Penyokong bola sepak tanah air sudah tentu kecewa dengan keputusan ini.

Bola sepak merupakan sukan rakyat yang mendapat sokongan besar kerajaan, namun prestasi yang dipamerkan masih belum mencapai tahap membanggakan.

Walau apa pun keputusan, Harimau Malaya perlu terus melangkah ke hadapan dengan hati yang terbuka. Pasukan perlu menilai semula kelemahan, mengambil pengajaran dan memperbaiki segala kekurangan agar kesilapan sama tidak berulang.

Dalam dunia sukan, kegagalan bukan noktah, sebaliknya ruang untuk pembelajaran.

Namun, perkembangan yang berlaku turut memberi kesan kepada imej bola sepak negara di peringkat antarabangsa.

Dalam dunia sukan moden, reputasi sesebuah pasukan amat bergantung kepada pengurusan yang telus, profesional dan berintegriti.

Justeru, setiap keputusan yang dibuat perlu berlandaskan perancangan yang rapi, bukan tergesa-gesa atau dipengaruhi kepentingan individu.

Pada masa sama, kita tidak wajar menyalahkan satu pihak secara mutlak. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai badan induk perlu terus memainkan peranan mengikut struktur yang ditetapkan.

Pengurusan projek tertentu juga perlu bergerak secara selaras agar tidak berlaku percanggahan dalam pelaksanaan dasar bola sepak negara.

Kita turut menghargai perubahan yang sedang berlaku dalam struktur pengurusan bola sepak negara. Langkah penstrukturan semula ini memberi ruang untuk penambahbaikan sistem agar lebih kukuh dan berkesan pada masa hadapan.

Dalam tempoh peralihan ini, semua pihak perlu memberi ruang kepada proses pembaharuan berjalan dengan tenang dan profesional.

Dalam masa sama, sudah tiba masanya Malaysia memberi tumpuan semula kepada pembangunan akar umbi. Program seperti Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN) perlu diperkasakan kerana di sinilah bakat muda dilahirkan dan dibentuk.

Sistem sukan sekolah, termasuk peringkat daerah dan kebangsaan, perlu terus menjadi asas utama pencarian bakat.

Malaysia juga perlu menilai semula pendekatan terhadap pemain naturalisasi dan warisan. Kita tidak menolak sumbangan mereka, namun pembangunan jangka panjang perlu memberi keutamaan kepada pemain tempatan yang dibentuk melalui sistem akar umbi.

Dengan perancangan yang konsisten, pasukan negara mampu dibarisi pemain yang benar-benar memahami identiti bola sepak Malaysia.

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, pembangunan berstruktur akan menentukan hala tuju Harimau Malaya. Jika semua pihak bergerak seiring, tidak mustahil Malaysia mampu kembali bersaing di pentas lebih tinggi.

Yang penting, setiap keputusan perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan berasaskan kepentingan negara.

Bola sepak bukan sekadar tentang kemenangan atau kekalahan tetapi tentang maruah, usaha dan pembinaan jangka panjang. Harimau Malaya perlu bangkit dengan lebih tersusun, lebih berdisiplin dan lebih bermaruah demi masa depan sukan negara. – UTUSAN

CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN