PETALING JAYA: Jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16), Shukor Adan memasang impian membawa skuad negara ke pentas final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 yang berlangsung di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Indonesia.
Anak buah Shukor akan berdepan Laos dalam aksi separuh akhir hari ini selepas muncul naib juara Kumpulan A, manakala satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Vietnam akan berdepan Thailand untuk merebut tiket ke final.
Shukor yang juga bekas kapten skuad kebangsaan itu mengakui sasaran mara ke final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 dilihat sasaran yang realistik buat skuad muda Malaysia yang kini berada dalam momentum terbaik.
Katanya, barisan pemain B-16 juga dilihat cukup bersemangat untuk merealisasikan sasaran berkenaan Ini ditambah dengan penampilan terakhir Malaysia di pentas final ialah edisi 2019.
“Alang-alang kita sudah berada di separuh akhir, untuk saya itu (final) yang sasaran yang kita tetapkan kepada pemain-pemain dan itu juga sasaran daripada saya.
“Selepas perlawanan dengan Timor Leste, saya bercakap dengan pemain-pemain, ‘alang-alang kita dah sampai ke semi final, kita kena buatlah sehabis baik kita untuk melayakkan diri ke final.
“Jadi, saya masih lagi yakin dengan pemain-pemain saya dan apa yang kita lihat, mereka pun mempunyai motivasi yang baik sekali untuk melayakkan diri ke final,” katanya.
Bagaimanapun, Shukor mahu anak buahnya fokus kepada aksi separuh akhir menentang Laos terlebih dahulu.
“Menjelang aksi paruh akhir (hari ini), apa yang kita lihat, Laos telah muncul juara Kumpulan B selepas mengejutkan Thailand dengan kemenangan 3-2. Pemain-pemain Laos mempunyai karakter serangan balas yang agak kuat dan semangat berpasukan mereka juga agak tinggi.
“Tiada siapa sangka Laos layak ke separuh akhir tanpa kekalahan. Jadi saya ingatkan para pemain, siapa-siapa sekalipun yang kita jumpa kita tidak boleh pandang rendah. Berdasarkan analisis video, Laos adalah satu pasukan ada komitmen tinggi dalam padang.
“Jadi kita akan buat perancangan taktikal untuk menentang pasukan Laos nanti. Alhamdulillah, buat masa sekarang ni tiada sebarang kecederaan yang serius terhadap pemain-pemain dan juga tiada penggantungan,” katanya. – UTUSAN










