PETALING JAYA: Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan mengingatkan skuad Bawah 20 tahun (B-20) negara agar tidak melakukan sebarang eksperimen apabila turun mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia B-20 2027 di Laos, bermula 31 Ogos ini.
Menurutnya, skuad Nafuzi Zain perlu menurunkan barisan terbaik dalam setiap perlawanan bagi memastikan pasukan negara mampu layak ke Piala Asia.
Katanya, dua pasukan yang paling wajar diberikan perhatian ialah Australia dan Indonesia berdasarkan kekuatan semasa serta pencapaian di peringkat pembangunan belia.
“Kalau kita tengok ranking dan perkembangan semasa, memang Australia dan Indonesia berada sedikit di hadapan.
“Indonesia pula baru melayakkan diri ke pentas dunia bagi peringkat Bawah 17 Tahun, jadi kita tidak boleh nafikan kekuatan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Wan Jamak, kekuatan Australia tidak boleh dipandang ringan memandangkan prestasi cemerlang skuad senior negara itu biasanya turut mempengaruhi tahap pasukan remaja.
Dalam masa sama, beliau menganggap Kumpulan H sebagai ‘kumpulan maut’ dan menuntut percaturan terbaik daripada barisan kejurulatihan negara.
“Mungkin orang boleh anggap ini kumpulan maut. Jadi Nafuzi perlu buat percaturan terbaik dalam semua perlawanan.
“Kita juga jangan lupa Laos ialah tuan rumah dan prestasi mereka sejak kebelakangan ini semakin meningkat, sama ada di peringkat belia mahu pun senior,” ujarnya.
Tambahnya, Malaysia tidak boleh memandang mudah mana-mana lawan kerana setiap pasukan memiliki kemampuan tersendiri untuk mencipta kejutan.
Mengulas pemilihan pemain, Wan Jamak menegaskan bukan masa untuk melakukan percubaan sebaliknya skuad terbaik perlu diturunkan demi memastikan peluang mara lebih cerah.
“Saya rasa setiap perlawanan perlu turunkan skuad terbaik kerana sebelum ini pasukan juga sudah mengadakan beberapa aksi persahabatan untuk menilai kemampuan pemain.Jadi sekarang bukan lagi masa untuk bereksperimen,” katanya.
Hasil undian yang dilakukan kelmarin menyaksikan skuad negara berada dalam Kumpulan H bersama Australia, Indonesia dan tuan rumah Laos. – UTUSAN










