DI media sosial, kita sering melihat reaksi keras apabila tular kisah anak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan. Ramai pantas melabel tindakan itu sebagai derhaka atau tidak mengenang budi. Namun, realiti kehidupan hari ini tidak sesederhana hitam putih seperti yang digambarkan di skrin telefon.
Di Malaysia, semakin ramai anak dewasa tergolong dalam ‘generasi sandwich’ iaitu golongan memikul dua tanggungjawab besar serentak dengan membesarkan anak-anak dan pada masa sama menjaga ibu bapa yang semakin uzur.
Dalam dunia kerja yang menuntut komitmen tinggi, tanggungjawab ini sering meletakkan mereka dalam dilema sukar diselesaikan.
Fenomena ini bukan sekadar persepsi, malah disokong data. Malaysia sedang bergerak ke arah negara menua apabila peratusan warga emas terus meningkat dan dijangka mencecah tahap lebih tinggi menjelang 2030. Perubahan ini menuntut kesiapsiagaan sistem sokongan sosial dan ekonomi yang lebih kukuh. Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia?
Struktur keluarga juga telah berubah dengan ketara. Jika dahulu beberapa generasi tinggal bersama, kini ramai anak terpaksa berhijrah ke bandar demi pekerjaan.
Dalam keadaan ini, pusat jagaan warga emas menjadi satu keperluan, bukan pilihan semata-mata. Lebih 450 pusat jagaan kini beroperasi di seluruh negara, menawarkan pengawasan profesional, rawatan dan pemantauan kesihatan yang sukar disediakan di rumah oleh anak-anak yang bekerja sepanjang hari.
Bagi sesetengah keluarga, pusat jagaan berfungsi seperti ‘taska warga emas’ yang memastikan ibu bapa tidak terabai. Namun, keputusan ini bukan mudah. Kos pusat jagaan swasta berkualiti di bandar besar boleh mencecah antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan.
Bagi generasi sandwich, jumlah ini merupakan beban kewangan yang besar. Walaupun begitu, ramai tetap berkorban demi memastikan ibu bapa mendapat penjagaan terbaik.
Selain tekanan kewangan, mereka juga berdepan keletihan emosi. Mereka bergelut dengan rasa bersalah yang berpanjangan kerana tidak menjaga ibu bapa sendiri dan kekurangan masa bersama anak-anak. Beban ini sering dipikul dalam diam tanpa banyak sokongan.
Dalam konteks ini, kerajaan perlu mempertimbangkan langkah lebih progresif. Pelepasan cukai bagi kos penjagaan warga emas boleh diperluas, manakala pengenalan cuti penjagaan wajar dipertimbangkan. Langkah ini penting agar anak-anak tidak dipaksa memilih antara kerjaya dan tanggungjawab terhadap ibu bapa.
Nilai bakti seorang anak tidak terletak pada lokasi ibu bapanya dijaga tetapi pada sejauh mana kasih, hormat dan tanggungjawab itu terus hidup dalam tindakan seharian. Sebelum kerusi di meja makan itu benar-benar kosong, penuhilah dengan kehadiran kita.
Dalam soal bakti, tiada jalan pintas selain keikhlasan hati.
Disertakan lima kelangsungan kewangan generasi sandwich:
- Simpan semua resit perubatan dan manfaatkan pelepasan cukai yang tersedia.
- Wujudkan tabung kecemasan khas untuk keperluan ibu bapa.
- Bincang pembahagian tanggungjawab dengan adik-beradik secara terbuka.
- Semak bantuan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh meringankan beban.
- Pertimbangkan perlindungan insurans untuk mengurangkan kos rawatan tinggi.-UTUSAN
DR. NORHALIZA ABU BAKAR & DR. ZURINA SAMSUDIN
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










