PASIR PUTEH: Majlis Getah Malaysia (MRC) bimbang kenaikan harga minyak global berisiko menjejaskan nilai eksport produk getah susulan kekangan penghantaran bahan mentah dan produk siap ke luar negara.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor berkata, keadaan tersebut boleh memberi kesan kepada keseluruhan nilai eksport industri getah negara.
Beliau bagaimanapun berkata, walaupun eksport terjejas, harga getah di pasaran berpotensi meningkat yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada pekebun kecil.
“Apabila harga petroleum meningkat, lazimnya harga getah turut mengalami kenaikan. Ia memberi sedikit kelegaan kepada pekebun kecil kerana pendapatan mereka boleh bertambah.
“Bagaimanapun, jika kita tidak dapat mengeksport produk getah ke luar negara, kenaikan harga itu juga tidak memberi manfaat sepenuhnya kepada industri,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Puteh di pekarangan Dewan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lama di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Suparadi memberitahu, fenomena kemarau yang berlaku sejak kebelakangan ini turut memberi kesan kepada pengeluaran getah meskipun tidak terlalu ketara.
Katanya, kebajikan pekebun kecil perlu terus diberi perhatian kerana mereka merupakan tulang belakang kepada pengeluaran getah negara.
“Jika kebun getah dibiarkan tanpa ditoreh, bekalan bahan mentah akan berkurangan dan ini boleh menjejaskan industri pemprosesan getah tempatan.
“Negara masih perlu mengimport bahan mentah getah bernilai kira-kira RM8 bilion setiap tahun bagi menampung keperluan industri hiliran seperti pembuatan sarung tangan kerana bekalan lateks tempatan tidak mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, industri perlu memanfaatkan teknologi moden bagi meningkatkan pengeluaran serta memastikan ia terus berdaya saing di peringkat global. – UTUSAN










