ADA kereta yang diisi sehingga melebihi kapasiti tempat duduk, manakala ruang but dipenuhi beg pakaian, kotak makanan, barangan dapur, malah ada mengikat barangan di atas bumbung kenderaan. Situasi ini sering kelihatan di lebuh raya utama ketika gelombang perjalanan balik kampung memuncak.
Hakikatnya, setiap kenderaan direka dengan had kapasiti tertentu melibatkan jumlah penumpang dan berat muatan. Apabila kapasiti ini melebihi, boleh menyebabkan prestasi dan kestabilan kenderaan terjejas.
Beban berlebihan akan memberi tekanan kepada sistem suspensi, brek dan tayar, sekali gus meningkatkan risiko kerosakan mekanikal ketika perjalanan jauh.
Antara kesan paling ketara ialah jarak membrek menjadi lebih panjang. Apabila kenderaan membawa muatan berlebihan menyebabkan berat tambahan memerlukan daya membrek lebih tinggi untuk memberhentikan kenderaan. Dalam situasi kecemasan, kelewatan beberapa saat untuk berhenti boleh menjadi perbezaan antara kemalangan dan keselamatan.
Muatan berlebihan juga boleh menjejaskan kestabilan kenderaan, khususnya apabila memandu pada kelajuan tinggi atau ketika melalui selekoh. Kenderaan terlalu berat lebih mudah hilang kawalan, terutama jika barangan disusun secara tidak seimbang. Keadaan ini menjadi lebih bahaya apabila terdapat barang diikat di atas bumbung kenderaan tanpa pengikat kukuh.
Tayar menanggung beban berlebihan berpotensi menjadi terlalu panas dan meningkatkan kemungkinan letupan tayar. Kejadian tayar pecah ketika memandu di lebuh raya boleh menyebabkan kenderaan terbabas atau bertembung dengan kenderaan lain, sekali gus mengundang tragedi tidak diingini.
Bagi kenderaan perdagangan seperti lori atau van kargo, isu muatan berlebihan juga sering menjadi perhatian, terutama ketika musim perayaan apabila permintaan penghantaran barangan meningkat. Sesetengah pemandu atau pengusaha mungkin cuba memaksimumkan keuntungan dengan membawa muatan melebihi had dibenarkan. Namun tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
Di sebalik semua faktor teknikal ini, punca utama masalah muatan berlebihan sebenarnya sering berpunca daripada sikap dan budaya masyarakat sendiri.
Sikap ini bukan sahaja memberi tekanan kepada kenderaan, malah menambah risiko kepada semua penumpang di dalamnya. Sekiranya berlaku kemalangan, barangan tidak disusun dengan baik boleh menjadi objek bahaya yang berpotensi mencederakan penumpang.
Oleh itu, sebelum memulakan perjalanan jauh, pengguna jalan raya perlu membuat perancangan lebih bijak. Bawa hanya barangan benar-benar diperlukan, susun muatan secara seimbang dan pastikan jumlah penumpang tidak melebihi kapasiti kenderaan. Keselesaan dan keselamatan sepanjang perjalanan jauh bergantung kepada keputusan dibuat sebelum memulakan perjalanan.
Dalam masa sama, pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memainkan peranan melalui pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan kenderaan mematuhi had muatan yang ditetapkan.
Mengutamakan keselamatan dengan mengelakkan muatan berlebihan bukan sahaja melindungi diri dan keluarga, malah turut menjaga keselamatan pengguna jalan raya yang lain. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam










