‘DAM dam dum bunyi mercun’ adalah sebahagian lirik lagu Selamat Hari Raya yang dinyanyikan oleh Nona Asiah (1954) dan Puan Sri Saloma (1959), memberi gambaran akan bunyi mercun yang tidak kuat ketika itu.
Mercun zaman sekarang bunyinya sedikit sahaja kurang daripada bunyi letupan dron, guguran bom dan peluru berpandu balistik dalam peperangan di Asia Barat.
Saya bersetuju dengan sebuah artikel yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini, bahawa mercun zaman sekarang memang mengganggu ketenteraman awam.
Berhubung dengan peperangan di Asia Barat, banyak iktibar yang kerajaan dan rakyat Malaysia boleh ambil.
Kita perlu sentiasa bersiap siaga akan segala kemungkinan yang bakal berlaku terutamanya dari segi pertahanan, keselamatan. ekonomi, kesihatan, bekalan tenaga, keterjaminan makanan dan bekalan air bersih.
Kenaikan harga minyak memberi kesan mendalam terutamanya kepada ekonomi negara. Harga barang-barang keperluan harian meningkat naik dan ini akan membebankan rakyat.
Bekerja dari rumah dapat menjimatkan kos pengangkutan tetapi dalam masa yang sama pekerja terpaksa membayar lebih bagi bil elektrik kerana penggunaan elektrik berlebihan daripada biasa di rumah untuk kipas angin atau penyaman udara.
Kawalan ke atas Selat Hormuz oleh Iran memberi idea kepada kuasa besar dunia akan kepentingan laluan kapal minyak dan gas serta kapal dagang.
Adakah kemungkinan kuasa besar dunia akan mengambil alih dan mengawal Selat Melaka dan mengutip tol bagi laluan kapal?
Jika ini berlaku, kemungkinan negara-negara seperti China, Jepun, Korea Selatan dan syarikat perkapalan besar akan bekerjasama untuk membiayai projek Terusan Segenting Kra di Thailand.
Jika kapal tidak lagi melalui Selat Melaka, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas akan mengalami kerugian, termasuk juga kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Kerajaan perlu segera melindungi dan mempertingkat keselamatan ke atas segala aset dan kepentingan negara. ‘Angsa Bertelur Emas’ milik Kerajaan Malaysia, yakni Petronas, mempunyai aset dan kepentingan di serata dunia termasuk di Suriname, berhampiran Venezuela.
Penutupan Selat Hormuz bagi laluan kapal-kapal terpilih menyebabkan minyak dan gas sekarang ini menjadi komoditi terpenting di dunia. Negara paling berkuasa terutamanya dari segi ketenteraan, tidak segan silu, tidak malu dan dengan selambanya akan merampas hasil minyak dan gas negara mahupun syarikat yang lemah.
Sudah tiba masanya kerajaan menggunakan khidmat kapal selam Scorpene bagi melindungi aset dan kepentingan Petronas di Suriname. Kapal selam Scorpene dibeli dengan harga yang mahal sepatutnya boleh beraksi, bukannya untuk dijadikan tukun.
Sekiranya angsa tidak lagi menelurkan emas tetapi hanya menelurkan telur biasa gred D sahaja, janganlah disembelih angsa itu kerana jasanya banyak.
Sembelih sahaja ayam dan itik yang tidak bertelur langsung dan suka berak merata-rata. Dalam pada itu, jika ada kapal tentera asing menceroboh masuk perairan negara, segeralah usir kapal tersebut.
Ambil iktibar daripada peperangan di Asia Barat. Banyak negara berada dalam keadaan paranoid. Ada yang sibuk menguji senjata, ada yang sibuk membeli senjata terkini dan ada yang sibuk mengumpul dan menyimpan stok makanan. Apa pula tindakan kita? – UTUSAN
MARISSA QT
Kuala Lumpur







