Konflik Asia Barat: Malaysia perlu sedar kesan ekonomi negara

Konflik Asia Barat: Malaysia perlu sedar kesan pada ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONFLIK yang memuncak melalui Operasi Epic Fury kini telah melangkaui kerangka pertikaian dua negara. Serangan dan serangan balas bukan sahaja melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel, malah telah merebak ke beberapa negara Teluk dan Levant, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Arab Saudi, Bahrain dan Jordan.

Perkembangan ini meningkatkan risiko peluasan konflik secara lebih meluas dan berpotensi menjerumuskan rantau Asia Barat ke dalam kitaran perang berpanjangan.

Bagi Malaysia, kesannya bukan bersifat simbolik, tetapi bersifat struktural, yang melibatkan keselamatan tenaga, kestabilan ekonomi dan orientasi dasar luar negara.

Pertama, dimensi tenaga perlu diberi perhatian serius. Menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA), kira-kira 20 peratus bekalan petroleum cecair dunia iaitu bersamaan hampir 20 juta tong sehari melalui Selat Hormuz.

Laluan ini juga menjadi nadi eksport utama negara-negara seperti Arab Saudi, UAE, Qatar dan Kuwait.

SERANGAN ke atas infrastruktur awam seperti lapangan terbang di Dubai bukan sahaja bersifat ketenteraan, tetapi juga memberi impak ekonomi global.

Sekiranya serangan ke atas negara-negara ini berterusan dengan menyasarkan infrastruktur strategik, risiko gangguan terhadap kemudahan pelabuhan, terminal eksport dan laluan perkapalan akan meningkat dengan ketara.

Qatar sahaja menyumbang hampir satu perempat perdagangan gas asli cecair (LNG) global. Gangguan eksportnya akan memberi kesan langsung kepada pasaran LNG dunia yang kini sudah tegang akibat konflik berpanjangan di Eropah Timur.

Malaysia sebagai pengeksport LNG utama melalui kompleks Bintulu mungkin menikmati permintaan tambahan, namun pasaran global yang tidak stabil juga boleh menekan kos logistik dan insurans perkapalan.

Dalam keadaan risiko peperangan, syarikat insurans lazimnya akan menaikkan premium war-risk insurance atau menarik perlindungan sama sekali, sekali gus meningkatkan kos penghantaran tenaga dan barangan.

Walaupun Malaysia ialah pengeksport bersih minyak dan gas, struktur ekonomi domestik tetap terdedah kepada turun naik harga global.

Pengalaman lalu menunjukkan bahawa setiap lonjakan harga minyak mentah akan mempengaruhi kos bahan api domestik, pengangkutan dan seterusnya harga makanan.

Dalam situasi di mana negara-negara seperti UAE, Saudi dan Qatar menjadi sasaran langsung serangan, lonjakan harga mungkin lebih mendadak dan berpanjangan, bukan sekadar reaksi jangka pendek pasaran.

Kedua, peluasan serangan ke Jordan menandakan konflik ini tidak lagi terhad kepada Teluk Parsi semata-mata.

Jordan mempunyai kedudukan strategik di sempadan Israel dan Syria serta menjadi rakan keselamatan penting kepada Barat. Sekiranya lebih banyak negara Arab terheret secara langsung, potensi perang serantau meningkat secara eksponen.

Arab Saudi dan UAE memiliki kapasiti ketenteraan moden, manakala Bahrain menjadi lokasi Armada Kelima AS.

Laporan terkini menunjukkan aset AS di Bahrain telah menjadi sasaran peluru berpandu Iran. Keterlibatan aktif atau tidak langsung negara-negara ini boleh mencetuskan dinamik pakatan ketenteraan yang lebih kompleks.

Dalam konteks ini, kebimbangan tentang perang akan merebak dan meluas bukanlah retorik semata-mata. Sejarah Asia Barat menunjukkan bahawa konflik tempatan mudah berkembang menjadi perang proksi atau perang pakatan.

Serangan ke atas infrastruktur awam seperti lapangan terbang di Dubai dan kemudahan tenaga di teluk itu bukan sahaja bersifat ketenteraan, tetapi juga memberi impak ekonomi global.

Gangguan terhadap hab penerbangan utama seperti Dubai dan Doha akan menjejaskan rangkaian penerbangan antarabangsa, termasuk laluan yang menghubungkan Asia Tenggara dengan Eropah dan Timur Tengah.

Ketiga, dari sudut geopolitik, krisis ini menguji konsep ASEAN centrality. Negara anggota ASEAN mempunyai hubungan yang pelbagai dengan AS, China dan negara-negara Asia Barat.

Malaysia perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dalam dikotomi kuasa besar. Pendekatan terbaik ialah dengan menegaskan prinsip undang-undang antarabangsa, kebebasan pelayaran dan juga penyelesaian diplomatik.

Sebagai negara yang mengamalkan ekonomi perdagangan terbuka, Malaysia bergantung kepada kestabilan laluan maritim global. Jika norma kebebasan pelayaran terhakis di Selat Hormuz, mesejnya turut relevan kepada Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Justeru, Malaysia boleh mengusulkan kenyataan bersama ASEAN yang menekankan keselamatan tenaga dan kestabilan maritim, tanpa memihak kepada mana-mana blok kuasa.

Keempat, konflik ini memperlihatkan evolusi peperangan moden iaitu penggunaan dron, peluru berpandu jarak jauh dan sistem pertahanan udara berlapis.

Negara-negara seperti UAE dan Arab Saudi telah melabur berbilion dolar dalam sistem pertahanan udara bagi menangkis ancaman peluru berpandu.

Namun, hakikat bahawa infrastruktur kritikal masih boleh menjadi sasaran menunjukkan sifat peperangan asimetri yang semakin kompleks. Malaysia perlu mengambil iktibar dalam perancangan pertahanan jangka panjang, khususnya dalam aspek keselamatan udara, maritim dan siber.

Akhirnya, Malaysia harus mengimbangi antara peluang dan risiko. Lonjakan harga tenaga mungkin memberi manfaat fiskal jangka pendek, tetapi ketidaktentuan global yang berpanjangan boleh menjejaskan pertumbuhan, pelaburan dan kestabilan pasaran kewangan.

Strategi terbaik ialah memperkukuh daya tahan domestik, melalui reformasi subsidi bersasar, pengukuhan simpanan strategik tenaga dan kepelbagaian rakan dagang, dan dalam masa yang sama, mengekalkan pendekatan dasar luar yang berimbang.

Situasi konflik yang semakin memanas ini membayangkan bahawa risiko perang serantau adalah nyata. Dalam keadaan dunia semakin tidak menentu, kebijaksanaan Malaysia terletak pada keupayaan untuk menilai krisis secara rasional dan bertindak berdasarkan kepentingan nasional, bukan di atas dasar sentimen atau tekanan luar.

Pendekatan sederhana, berprinsip dan pragmatik akan memastikan Malaysia kekal stabil di tengah gelombang geopolitik yang semakin bergelora. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Bakri Mat ialah Felo Penyelidik Kanan, Institut Asia bagi Hal Ehwal dan Diplomasi Antarabangsa (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (UUMCOLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN