Tangani remaja ketagih pornografi

Tangani remaja ketagih pornografi

PENDEKATAN solusi mesti berasaskan data, intervensi tingkah laku, literasi digital dan perlindungan kanak-kanak. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDEDAHAN kepada bahan pornografi bermula lebih awal, berikutan akses yang semakin mudah di hujung jari melalui telefon pintar dan peralatan elektronik. Ramai remaja melaporkan pernah terdedah, dengan sebahagian menonton secara kerap.

Dalam menangani isu yang masih dianggap tabu ini, pendekatan solusi mesti berasaskan data, intervensi tingkah laku, literasi digital dan perlindungan kanak-kanak.

Beberapa usaha segera perlu dilakukan oleh pelbagai pihak. Pendidikan seksualiti perlu diterapkan dengan lebih menyeluruh dengan penekanan terhadap nilai moral dan tanggungjawab.

Sejajar dengan sumber utama pendedahan bahan pornografi masa kini, pendidikan keselamatan dan literasi digital perlu diintegrasikan dalam kurikulum pendidikan seksual yang sedia ada.

Program kesedaran dan pencegahan perlu diperluaskan di sekolah dan komuniti setempat. Pengisian aktiviti ini adalah penting terutamanya waktu cuti sekolah yang panjang, bagi memberikan panduan dan peringatan kepada anak-anak yang semakin leka dengan gajet masing-masing.

Contohnya, Malaysians Against Pornography (MAP) melatih sukarelawan dalam kalangan masyarakat bagi menyampaikan kesedaran kepada para pelajar sekolah, serta guru dan ibu bapa.

Penekanan rujukan awal ke perkhidmatan kaunseling atau profesional kesihatan mental turut diberikan untuk mencegah dan merawat kanak-kanak atau remaja daripada ketagihan pornografi.

Adalah perlunya pusat pemulihan tingkah laku untuk ketagihan bukan berunsurkan bahan seperti dadah, sebagaimana yang telah diwujudkan di Jepun.

Pengukuhan pengawasan kandungan seksual melibatkan kanak-kanak dengan penguatkuasaan akta yang berkaitan adalah penting. Tetapan keselamatan peranti pada aras telekomunikasi atau gedung aplikasi perlu diberikan penekanan dengan komunikasi yang jelas kepada pengguna.

Penyelidikan tempatan perlu dipergiatkan untuk kenalpasti punca masalah, penghasilan intervensi yang efektif dan pemantauan program serta dasar yang sedia ada.

Peranan institusi agama, sekolah dan ibu bapa saling melengkapi. Lindungi kanak-kanak dan remaja dengan pendidikan, sokongan keluarga, perkhidmatan kaunseling, dan dasar keselamatan digital yang jelas, supaya mereka membesar sihat, bermaruah, dan berdaya tahan.

Lindungi mereka hari ini, selamatkan generasi esok. – UTUSAN

DR. FATIMAH AHMAD FAUZI
Pensyarah Perubatan Jabatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN