Pendidikan kewangan perlu bermula di sekolah

Pendidikan kewangan perlu bermula di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMAJA hari ini hidup dalam dunia yang bergerak pantas. Maklumat di hujung jari, media sosial menjadi rujukan dan gaya hidup mewah dipamerkan setiap hari.

Tanpa disedari, ramai anak muda mula membandingkan diri dengan apa yang mereka lihat di skrin. Perkara yang dibimbangi ialah remaja cenderung membuat keputusan kewangan berasakan emosi, bukan pertimbangan.

Ada yang membeli semata mengikut trend, ada yang berhutang kecil-kecilan dan tidak kurang juga yang terperangkap dengan tawaran menjana wang pantas di alam maya. Dalam realiti ini, persoalan yang perlu kita tanyakan ialah, adakah remaja kita benar-benar bersedia mengurus wang atau sekadar pandai berbelanja sahaja.

Hakikat ini menuntut perhatian serius semua pihak. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menegaskan matlamat melahirkan insan seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pula menggariskan keperluan membina pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi mempunyai nilai, kemahiran hidup dan daya tahan menghadapi cabaran masa depan.

Dalam konteks kewangan, aspirasi ini diperkukuh melalui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang bertujuan membentuk rakyat Malaysia yang mampu membuat keputusan kewangan secara berinformasi dan bertanggungjawab sejak usia muda.

Namun, realitinya masih ramai remaja belum memiliki asas pengurusan wang yang kukuh. Ramai remaja hari ini bijak menggunakan teknologi. Mereka pantas menyesuaikan diri dengan dunia digital.

Namun, dalam kecekapan itu, masih ramai yang belum tahu mengurus wang dengan baik. Mereka tahu membuat pesanan makanan melalui aplikasi, tetapi tidak biasa merancang perbelanjaan.

Mereka kenal istilah pelaburan, tetapi tidak memahami risiko. Inilah cabaran sebenar generasi ini dalam dunia moden yang penuh tekanan gaya hidup dan perbandingan sosial.

Masalah ini bukan sekadar soal duit. Ia berkait rapat dengan pembentukan nilai dan ketahanan diri. Oleh itu, pendidikan kewangan perlu bermula sejak di bangku sekolah dan diperkukuh secara berterusan di rumah serta dalam komuniti.

STRATEGI Literasi Kewangan Kebangsaan diperkenalkan bagi membentuk rakyat Malaysia supaya mampu membuat keputusan kewangan secara berinformasi dan bertanggungjawab sejak usia muda.

Celik kewangan bukan bermaksud tahu mengira semata-mata. Ia bermaksud memahami bagaimana wang diperoleh, dibelanjakan, disimpan dan dilindungi. Ia juga bermaksud mampu membuat keputusan dengan berfikir, bukan mengikut perasaan.

Bagi pelajar sekolah menengah, asas literasi kewangan boleh dimulakan dengan langkah yang sangat mudah.

Pertama, belajar membezakan antara keperluan dan kehendak. Keperluan ialah perkara asas seperti makanan, pendidikan dan keperluan harian. Kehendak pula ialah perkara tambahan yang boleh ditangguhkan.

Ramai remaja membelanjakan wang untuk kehendak tanpa sedar. Jika ini tidak dibetulkan awal, tabiat tersebut boleh berterusan hingga dewasa.

Kedua, biasakan menyimpan walaupun sedikit. Simpanan bukan soal jumlah besar, tetapi soal disiplin. Pelajar boleh menyimpan sebahagian wang saku setiap minggu. Amalan ini membina kesabaran dan kesedaran bahawa wang tidak datang dengan mudah.

Ketiga, belajar mencatat perbelanjaan. Tulis apa yang dibelanjakan setiap hari. Cara ini membantu pelajar melihat ke mana wang mereka pergi dan mengajar mereka bertanggungjawab terhadap pilihan sendiri.

Keempat, fahami konsep risiko. Tidak semua peluang menjana wang itu selamat. Janji keuntungan besar dalam masa singkat sering membawa bahaya. Jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan, besar kemungkinan ia memang tidak benar.

Dalam Islam, pengurusan harta bukan sekadar kemahiran, tetapi amanah. Harta adalah pinjaman daripada Allah yang perlu diurus dengan jujur, sederhana dan penuh tanggungjawab. Nilai seperti qanaah (merasa cukup), amanah dan menjauhi pembaziran adalah asas penting dalam kewangan Islam.

Apabila pelajar memahami bahawa rezeki datang bersama tanggungjawab, mereka lebih berhati-hati membuat keputusan dan belajar menahan diri daripada pembelian impulsif.

Pendidikan Islam di sekolah menengah mempunyai peranan besar dalam membentuk sikap ini. Topik muamalat, adab mencari rezeki, pengurusan harta, zakat dan sedekah boleh dikaitkan dengan situasi semasa.

Guru boleh membincangkan bahaya scam ketika mengajar tentang amanah atau kepentingan simpanan atau ketika menyentuh isu pengurusan harta. Pendekatan ini sejajar dengan pendekatan pendidikan berasaskan nilai yang digariskan dalam Dasar Pendidikan Negara dan menjadikan pembelajaran lebih hidup serta dekat dengan realiti pelajar.

Pada masa yang sama, remaja perlu diberi kesedaran tentang jenayah kewangan moden. Penipuan hari ini tidak lagi bergantung kepada panggilan telefon semata-mata. Ia hadir melalui sistem pesanan ringkas, iklan palsu, pautan tidak sah dan aplikasi yang kelihatan profesional.

Pelajar perlu diajar panduan keselamatan kewangan yang mudah, iaitu jangan berkongsi maklumat peribadi, jangan klik pautan mencurigakan, jangan mudah percaya janji pulangan lumayan dan sentiasa berbincang dengan ibu bapa atau guru sebelum membuat keputusan kewangan.

Peranan ibu bapa juga sangat penting. Pendidikan kewangan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah. Di rumah, ibu bapa boleh melibatkan anak dalam perancangan belanjawan keluarga, menerangkan bagaimana bil dibayar dan menunjukkan bagaimana perbelanjaan diurus.

Memberi wang saku secara berstruktur serta menggalakkan simpanan membantu anak memahami realiti kehidupan dan membina keyakinan membuat keputusan.

Masjid, surau dan komuniti setempat pula boleh menjadi pusat pendidikan kewangan berteraskan nilai Islam melalui ceramah dan bengkel ringkas. Pendekatan ini menyokong hasrat Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan untuk mewujudkan ekosistem pembelajaran kewangan sepanjang hayat dalam masyarakat.

Akhirnya, membina generasi celik kewangan bukan sekadar soal kemahiran mengurus wang. Ia usaha membentuk manusia yang berdisiplin, beretika dan berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi.

Remaja hari ini ialah pemimpin masa depan. Jika mereka diasuh dengan ilmu kewangan dan dipandu dengan iman, mereka bukan sahaja mampu menghadapi tekanan ekonomi, malah lebih kebal daripada jerat jenayah kewangan.

Celik kewangan memberi kefahaman, manakala iman memberi arah. Apabila kedua-duanya digabungkan melalui pendidikan formal, sokongan keluarga dan peranan komuniti, sebenarnya kita sedang membina benteng yang kukuh untuk masa depan negara.

Tindakan ini bermula dari hati, diterjemahkan melalui tindakan dan dizahirkan dalam kehidupan seharian. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah pensyarah di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN