BANDAR GAZA – Tembakan artileri Israel telah membunuh seorang remaja lelaki Palestin berusia 15 tahun dan mencederakan seorang lagi remaja di timur Bandar Gaza pada Sabtu, menandakan pelanggaran baharu gencatan senjata di wilayah itu, lapor agensi berita Anadolu.
Sumber perubatan memberitahu Anadolu bahawa Abed Raed Radi terbunuh berhampiran kawasan yang dikawal Israel di timur kawasan kejiranan Zeitoun.
Salman Yahya al-Malalha, 16, cedera dalam bedilan yang sama dan kini berada dalam keadaan sederhana.
Terdahulu pada hari yang sama, dua rakyat Palestin cedera apabila tentera laut Israel melepaskan tembakan ke arah bot nelayan di luar pesisir Bandar Gaza dan di kawasan Sheikh Ajlin.
Seorang wanita Palestin turut ditembak di bahagian kaki di kawasan Mawasi, barat Khan Younis, tambah sumber itu.
Agensi pertahanan awam Gaza berkata, serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang pada Jumaat, dengan pihak tentera mengesahkan serangan di seluruh wilayah itu sebagai tindak balas terhadap perlanggaran gencatan senjata.
Gencatan senjata itu diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu.
Agensi pertahanan awam, yang berfungsi sebagai pasukan penyelamat di bawah pihak berkuasa Hamas, memberitahu AFP bahawa satu serangan dron di bandar selatan Khan Yunis tidak lama selepas tengah malam telah membunuh tiga orang.
Satu serangan udara ke atas sebuah khemah untuk orang-orang terpaksa berpindah di barat Khan Younis pada waktu petang membunuh seorang lagi, menurut agensi itu.
Dua orang lagi terbunuh akibat tembakan Israel dalam insiden berasingan di bandar utara Beit Lahia, manakala satu serangan di Gaza tengah membunuh seorang lagi.
Apabila ditanya mengenai insiden itu oleh AFP, tentera Israel merujuk kepada kenyataan mengenai beberapa anggota bersenjata Hamas yang keluar dari terowong di kawasan Rafah sehari sebelumnya, yang menurut mereka merupakan pelanggaran perjanjian gencatan senjata.
Israel telah membunuh 618 rakyat Palestin dan mencederakan 1,663 orang sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa Oktober lalu.
Gencatan senjata itu menyusuli perang yang digelar genosid dan dilancarkan Israel pada 7 Oktober 2023.
Perang itu berlangsung selama dua tahun sehingga mengorbankan lebih 72,000 penduduk Palestin dan mencederakan 171,000 orang, kebanyakannya wanita serta kanak-kanak selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di wilayah tersebut. – AGENSI/AFP










