MUSIM perayaan seperti Aidilfitri lazimnya menyaksikan peningkatan aktiviti pembelian apabila pengguna membuat persiapan menyambut hari raya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru pengguna supaya sentiasa mematuhi undang-undang pengguna yang sedia ada ketika membuat pembelian, khususnya semasa musim perayaan.
Seruan ini amat wajar kerana kepatuhan terhadap undang-undang bukan sahaja melindungi pengguna, malah memastikan pasaran kekal adil dan berintegriti.
Malaysia sebenarnya mempunyai rangka kerja undang-undang yang kukuh bagi melindungi kepentingan pengguna.
Antara undang-undang utama ialah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599). Akta ini memberi beberapa hak penting kepada pengguna, termasuk hak kepada keselamatan, iaitu memastikan barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan selamat digunakan serta menepati apa yang diiklankan.
Pengguna juga berhak menerima maklumat yang tepat tanpa unsur mengelirukan atau penipuan dalam iklan. Akta ini memastikan terma kontrak yang adil supaya peniaga tidak boleh menafikan hak pengguna melalui polisi seperti ‘tiada bayaran balik’. Jika barangan rosak atau cacat, pengguna berhak menuntut pembaikan, penggantian atau bayaran balik.
Sekiranya berlaku pertikaian, pengguna boleh mendapatkan penyelesaian melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Tribunal ini menyediakan saluran mudah dan cepat bagi pengguna membuat tuntutan sehingga RM50,000 tanpa perlu melalui proses mahkamah sivil yang rumit dan mahal.
Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak munasabah, terutama bagi barangan keperluan semasa musim perayaan. Akta ini juga menyokong pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga secara berlebihan.
Peraturan Perlindungan Pengguna bagi Transaksi Perdagangan Elektronik turut memainkan peranan penting. Peniaga dalam talian perlu memaparkan maklumat harga yang jelas, butiran penjual, penerangan produk yang tepat serta menyediakan saluran aduan kepada pengguna.
Secara keseluruhannya, undang-undang ini membantu melindungi pengguna daripada promosi palsu, kenaikan harga melampau dan penipuan dalam talian. Pengguna juga mempunyai saluran mudah untuk membuat aduan atau tuntutan jika berlaku pelanggaran hak.
Oleh itu, pengguna disarankan agar sentiasa bijak ketika berbelanja. Bandingkan harga sebelum membeli, simpan resit sebagai bukti pembelian dan laporkan sebarang pelanggaran kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) atau melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. – UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan










