PETALING JAYA: Risiko kematian boleh berlaku kepada mereka yang mengambil pil gugur kandungan yang dijual di dalam talian yang diragukan status dan kualitinya.
Pakar perubatan kesihatan awam dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, walaupun risiko itu berlaku adalah kecil namun pengambilan tanpa nasihat dan pengawasan daripada doktor memang membawa kepada pelbagai kesan sampingan atau komplikasi rawatan.
“Ini termasuk perdarahan berlanjutan hasil kandungan yang tertinggal di dalam rahim yang mana menyebabkan pendarahan dan kuman boleh memasuki rahim.
“Selain itu, bantuan cecair badan tidak tersedia menyebabkan si ibu mengalami demam, rahim pecah, luka dalam proses menggugurkan, kandungan tidak berjaya digugurkan malah kematian akibat sepsis (jangkitan serius).
“Rawatan ini juga sebenarnya tidak boleh diberi kepada individu yang sudah mempunyai isu pendarahan, anemia (kurang darah), masalah jantung, hati dan buah pinggang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sharifa Ezat berkata, setiap pengguna yang ingin membeli dan mendapatkan rawatan kesihatan adalah dinasihatkan mendapat preskripsi dari pembekal bertauliah dan sah.
Katanya, sebarang jenis ubatan yang dibeli secara dalam talian boleh jadi meragukan kerana statusnya mungkin sah atau sebaliknya malah ada juga ubatan yang ternyata adalah tiruan.
“Keperluan menggugurkan kandungan adalah sesuatu yang serius dan perlu mendapatkan nasihat pakar yang sesuai. Ini kerana perlu adanya pemeriksaan lanjut dan sekiranya berlaku komplikasi perlu mendapatkan rawatan sebagai pesakit dalam,” katanya lagi. – UTUSAN










