PBAKL 2026 misi membina bangsa membaca

PBAKL 2026 misi membina bangsa membaca

MEMBACA ialah pelaburan jangka panjang dalam pembentukan modal insan yang bijaksana dan matang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGANJUR Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 mengumumkan tema Malaysia Membaca; Merayakan Buku! serta tarikh penganjuran dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026, menandakan edisi ke-43 acara berprestij ini. 

Kelangsungan PBAKL selama lebih empat dekad membuktikan daya tahan industri perbukuan negara dalam menyemai budaya ilmu dan kecintaan terhadap buku merentas generasi. 

Walaupun ramai mengakui kepentingan membaca, namun kita belum benar-benar mengangkatnya sebagai keutamaan strategik negara. 

Dalam era maklumat pantas dan pengaruh digital, masyarakat memerlukan keupayaan membaca secara teliti dan berfikir secara mendalam. Tanpa budaya membaca yang kukuh, kita mudah terdedah kepada maklumat dangkal dan lemah dalam membuat pertimbangan rasional. 

Di sinilah PBAKL memainkan peranan penting sebagai ruang yang menzahirkan penghargaan terhadap pemikiran bernas dan wacana intelektual.

Data Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 menunjukkan peningkatan purata bacaan daripada dua naskhah setahun pada 2005 kepada 24 naskhah pada 2023. Angka ini bukan sekadar statistik tetapi gambaran perubahan sikap dan kesedaran masyarakat terhadap nilai ilmu. 

Tema PBAKL 2026 hadir tepat pada waktunya apabila negara menyasarkan 30 naskhah setahun bagi setiap rakyat demi membina masyarakat berilmu dan berdaya saing.

Lonjakan kehadiran pengunjung daripada 1.3 juta pada 2022 kepada 2.16 juta pada 2025 menepis tanggapan budaya membaca semakin merosot. 

Kehadiran keluarga, pelajar dan masyarakat umum membuktikan buku masih relevan dan dihargai. Pertambahan reruai serta penyertaan pempamer pula mencerminkan keyakinan industri terhadap masa depan perbukuan negara.

Kita perlu memastikan momentum ini diterjemahkan kepada gerakan berterusan melalui pendidikan, perpustakaan dan penglibatan komuniti. 

Membaca ialah pelaburan jangka panjang dalam pembentukan modal insan yang bijaksana dan matang. -UTUSAN

 

ZAIHA AHMAD

Pensyarah Kanan

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media

Universiti Teknologi Mara (UiTM) 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN