Pandu citra lahir pemimpin berempati

Pandu citra lahir pemimpin berempati

BUDAYA pandu citra memerlukan komitmen menyeluruh perkhidmatan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PANDU citra (coaching) semakin diiktiraf sebagai pendekatan berkesan untuk memperkasa kepimpinan perkhidmatan awam. Ia merupakan proses pembangunan berfokus individu, dengan seorang pemandu citra membantu permata citra mengenal pasti matlamat, mengatasi cabaran dan mencapai potensi terbaik mereka.

Berbeza daripada latihan konvensional, pandu citra menekankan dialog dua hala, pemikiran reflektif dan pembelajaran kendiri. Pemandu citra tidak memberikan jawapan sebaliknya, mengemukakan soalan yang mencabar untuk membantu permata citra menemui penyelesaian sendiri.

Keberkesanan pandu citra telah terbukti di perkhidmatan awam global. Google, melalui program Googler-to-Googler, menekankan pandu citra dan membina budaya inovasi yang kukuh. Di Singapura, Civil Service College menggunakan pandu citra sebagai teras pembangunan pemimpin, menghasilkan perkhidmatan awam yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia.

Antara sumbangan terbesar pandu citra ialah melahirkan pemimpin yang berempati. Empati membolehkan pemimpin memahami pengalaman orang lain dan kemahiran kritikal dalam kepimpinan moden. 

Melalui pandu citra, pemimpin belajar mendengar aktif, bertanya soalan dengan ikhlas dan menilai perspektif tanpa menghakimi. Kemahiran ini membina pemimpin yang lebih peka terhadap keperluan pegawai dan rakyat.

Pemandu citra yang berkesan menumpukan perhatian pada aspirasi dan cabaran permata citra, bukannya agenda peribadi. Proses ini melatih pemimpin berempati, membina kepercayaan, memotivasikan pasukan dan menangani isu sensitif dengan bijak. 

Dalam konteks perkhidmatan awam Malaysia, empati amat penting kerana pegawai berhadapan rakyat dari pelbagai latar belakang dengan masalah kompleks dan penuh emosi. 

Pemimpin berempati menghasilkan perkhidmatan mesra, berkesan dan mewujudkan persekitaran kerja sihat serta produktif.

Untuk merealisasikan matlamat ini, semua agensi awam perlu bekerjasama dengan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dalam membangunkan pemimpin berempati. 

Program latihan INTAN menekankan mendengar aktif, komunikasi berempati dan pemahaman emosi. Agensi yang menyertai program ini akan memperoleh pemimpin yang cekap teknikal dan matang emosi.

Budaya pandu citra memerlukan komitmen menyeluruh. Agensi perlu menyediakan masa khusus untuk sesi pandu citra, menilai kepimpinan berempati dan memberi pengiktirafan kepada pemandu citra cemerlang. 

Pemimpin kanan perlu menjadi suri teladan, menunjukkan empati dalam tindakan harian.

Kesimpulannya, pandu citra melalui kerjasama strategik antara agensi dan INTAN mampu melahirkan pemimpin berempati yang menjadikan perkhidmatan awam Malaysia lebih responsif, mesra rakyat, dan cemerlang. –UTUSAN

 

ISWALAH ARSHAD

Felo Penyelidik Kanan

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN