Mengembalikan semangat berfikir dalam Islam

Mengembalikan semangat berfikir dalam Islam

MENGHIDUPKAN kembali tradisi intelektual Islam menjadi keperluan mendesak demi masa hadapan umat dan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM perbincangan isu awam hari ini, Islam sering dilihat melalui lensa yang sempit, terbatas kepada hukum, ritual dan polemik identiti. 

Gambaran ini sebenarnya tidak adil terhadap sejarahnya sendiri. Sejak awal kemunculannya, Islam berkembang sebagai tradisi intelektual yang hidup, berasaskan dialog, pencarian ilmu dan keberanian berfikir.

Islam tidak pernah memisahkan iman daripada akal. Wahyu tidak mematikan pemikiran, sebaliknya membimbing manusia memahami kehidupan secara lebih bermakna. Gabungan iman dan rasionaliti inilah yang membina tamadun Islam sebagai pusat ilmu dunia, malah mendahului Eropah dalam bidang falsafah, geografi, sains sosial dan sains tabii.

Perbahasan antara akal dan wahyu menjadi nadi perkembangan intelektual Islam. Tokoh seperti al-Ghazali sering disalah tafsir sebagai penolak rasionaliti, sedangkan beliau sebenarnya mengkritik penggunaan akal yang terpisah daripada nilai moral.

Dalam masa sama, Ibn Rushd mempertahankan rasionaliti sebagai anugerah Tuhan untuk memahami alam dan hukum Ilahi. Perbezaan pandangan ini membuktikan Islam berkembang melalui dialog intelektual.

Tradisi keilmuan Islam juga melangkaui bidang teologi dan hukum. Dalam sains sosial dan geografi, umat Islam pernah berada di barisan hadapan dunia. Al-Idrisi, misalnya, menghasilkan peta dunia paling lengkap pada abad ke-12 yang digunakan di Eropah selama beratus tahun. Karyanya menunjukkan ilmu dilihat sebagai usaha sistematik memahami ciptaan Tuhan, bukan sekadar urusan peribadi.

Begitu juga Ibn Battutah, pengembara abad ke-14 yang merakam pemerhatian mendalam tentang masyarakat dari Afrika hingga Asia Tenggara. Catatannya bukan sekadar kisah perjalanan tetapi analisis sosial dan perbandingan tamadun yang bernilai tinggi.

Namun, mengapa tradisi ini kelihatan semakin mengecil? Antaranya ialah peralihan daripada budaya ijtihad kepada taqlid yang berlebihan. 

Taqlid membantu mengekalkan kestabilan hukum tetapi menjadi masalah apabila menutup ruang soal jawab dan pembaharuan pemikiran.

Sejarah juga mengingatkan hubungan agama dan kuasa politik perlu diawasi. Ibn Khaldun menegaskan agama mampu menjadi sumber kekuatan moral, namun boleh menyumbang kepada kemerosotan jika kehilangan fungsi intelektual dan etika.

Di Alam Melayu, Islam berkembang melalui ilmu, perdagangan dan pendidikan. Tradisi pondok, pengajian kitab dan tulisan Jawi membuktikan Islam tempatan berakar pada budaya berfikir.

Kesimpulannya, sejarah Islam menunjukkan agama ini tidak takut kepada soalan. Dalam dunia yang semakin kompleks menggalakkan kita untuk menghidupkan kembali tradisi intelektual Islam menjadi keperluan mendesak demi masa hadapan umat dan negara. –UTUSAN

 

DR. YUSRY SULAIMAN

Unit Kenegaraan, Sejarah & Gunaan, 

Pusat Pengajian Bahasa,

Tamadun dan Falsafah,

Universiti Utara Malaysia (UUM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN