Memartabatkan bahasa Melayu dalam kecerdasan buatan

Memartabatkan bahasa Melayu dalam kecerdasan buatan

HUBUNGAN antara bahasa Melayu, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi saling berkait dalam pembinaan tamadun digital Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN kecerdasan buatan (AI) kini mengubah cara manusia bekerja, berfikir dan berinteraksi. 

Teknologi ini tidak lagi sekadar alat sokongan tetapi menjadi pemacu utama transformasi ekonomi, pentadbiran dan kehidupan sosial. 

Dalam konteks Malaysia, persoalan yang perlu direnungkan bukan hanya sejauh mana kita mengadaptasi AI  tetapi bagaimana membangunkannya agar selari dengan bahasa kebangsaan, nilai budaya dan falsafah hidup masyarakat. 

Di sinilah bahasa Melayu memegang peranan penting sebagai bahasa ilmu, ekonomi dan tamadun dalam era digital.

Bahasa Melayu dimaktubkan sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi teras identiti negara. Namun dalam arus globalisasi dan dominasi bahasa Inggeris dalam bidang teknologi, bahasa Melayu sering dilihat terpinggir, khususnya dalam sektor strategik seperti sains dan ekonomi digital. 

Hakikatnya, sesuatu bahasa akan terus hidup dan dihormati apabila kita menggunakannya secara aktif dalam bidang bernilai tinggi. Hari ini, bidang itu ialah ekonomi digital yang dipacu AI. Justeru, memperkasa AI berbahasa Melayu bukan sekadar agenda linguistik tetapi langkah strategik untuk memperkukuh daya saing negara.

Apabila sektor awam dan swasta menggunakan AI secara meluas, kita perlu memastikan teknologi itu benar-benar difahami rakyat. AI yang tidak berakar pada bahasa dan konteks tempatan boleh mewujudkan jurang digital dan salah faham komunikasi. 

Dalam masyarakat majmuk, bahasa Melayu berfungsi sebagai lingua franca yang menyatukan. AI yang mampu berinteraksi secara fasih dalam bahasa Melayu serta memahami nuansa budaya dan konteks sosial akan lebih mudah diterima dan dipercayai. Kepercayaan ini penting kerana mendorong penggunaan teknologi secara meluas dan merancakkan inovasi tempatan.

Sejarah menunjukkan bahasa yang menjadi bahasa perdagangan dan ilmu akan berkembang seiring kemajuan ekonomi. Jika Malaysia mahu membina ekonomi digital yang berdaulat, kita perlu meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi dan AI, bukan sekadar simbol identiti. 

Usaha membangunkan Model Bahasa Skala Besar Bahasa Melayu melalui penubuhan fakulti AI di institusi pengajian tinggi dan kolaborasi dengan Dewan Bahasa dan Pustaka  (DBP) mencerminkan kesedaran ke arah itu. Namun kita masih berdepan cabaran dalam pembangunan istilah saintifik dan penerbitan ilmiah berkualiti dalam bahasa Melayu. Tanpa ekosistem istilah yang mantap, bahasa Melayu sukar berkembang sebagai bahasa ilmu teknologi.

Dalam tradisi Islam, ilmu dan bahasa mempunyai kedudukan yang tinggi. Perintah ‘Iqra’ menegaskan kepentingan membaca dan menyebarkan ilmu dalam bahasa yang difahami masyarakat. 

Prinsip ini selari dengan keperluan membangunkan AI dalam bahasa Melayu agar teknologi benar-benar memberi manfaat dan tidak mengecualikan sesiapa. 

Falsafah ekonomi Islam juga menuntut keseimbangan antara kemajuan material dan nilai moral. Bahasa Melayu yang sarat dengan nilai adab dan kesantunan mampu membentuk interaksi AI yang lebih beretika dan berperikemanusiaan.

Akhirnya, hubungan antara bahasa Melayu, AI dan ekonomi saling berkait dalam pembinaan tamadun digital Malaysia. 

Memartabatkan bahasa Melayu dalam AI bukan bererti menolak bahasa lain tetapi memastikan bahasa kebangsaan terus berperanan dalam sektor strategik negara. 

Dengan berpandukan nilai ilmu, sejarah dan budaya, kita berpeluang membina ekosistem AI yang bukan sahaja canggih dan berdaya saing tetapi juga berakar pada identiti dan jiwa bangsa. Inilah langkah menuju negara yang berdaulat, beretika dan sejahtera dalam era AI. –UTUSAN

 

MOHD. AMMYRUL ASHRAF SAIRAN & CHE HASNIAH YA’ACOB

Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,

Universiti Utara Malaysia (UUM) 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN