SABAN tahun, Ramadan hadir sebagai madrasah rohani yang mendidik jiwa, memperkukuh ukhuwah dan membina kesedaran sosial umat Islam.
Bulan ini memberi peluang menjalani rukun Islam ketiga, sambil menggandakan pahala melalui solat, membaca al-Quran, zikir, sedekah dan aktiviti kemasyarakatan.
Dalam konteks semasa, program seperti bazar dan expo Ramadan kerap dianjurkan di kampus, masjid atau komuniti. Persoalannya, manakah lebih membawa keberkatan, adakah mengunjungi expo atau mengimarahkan masjid dengan solat Tarawih?
Hakikatnya, kedua-duanya bernilai, namun keseimbangan perlu difahami agar Ramadan memberi kesan mendalam kepada pembinaan jiwa dan hubungan dengan Allah SWT.
Masjid bukan sekadar tempat solat tetapi pusat penyatuan ummah dan penyebaran ilmu. Solat sunat Tarawih yang hadir setahun sekali menjadi simbol kekhusyukan Ramadan.
Rasulullah SAW menghidupkan malam Ramadan dengan solat dan ibadah. Mengimarahkan masjid dapat memperkukuh hubungan sosial apabila anak-anak mencontohi ibu bapa, rakan-rakan saling bertegur sapa dan masyarakat merasai kebersamaan yang sukar diperoleh pada bulan lain. Keberkatan ini terasa dalam ketenangan jiwa dan kekuatan ukhuwah.
Expo Ramadan pula berperanan signifikan. Ia bukan sekadar ruang jualan tetapi platform dakwah, pendidikan dan kebajikan. Dengan jualan produk halal, ceramah ringkas, sumbangan kepada golongan memerlukan dan promosi gaya hidup Islamik membuka ruang bagi expo memperluas manfaat Ramadan. Ia juga membantu usahawan kecil, pelajar dan komuniti menjana pendapatan halal, satu bentuk ibadah sosial.
Cabaran timbul apabila expo bertembung dengan solat Tarawih atau mengalihkan fokus daripada ibadah utama. Penyelesaian terbaik bukan memilih antara expo atau masjid tetapi menggabungkan kedua-duanya secara harmoni.
Expo perlu sensitif jadual solat, boleh dianjurkan berhampiran masjid dan menyediakan sudut tazkirah, tabung wakaf atau kempen sedekah. Individu pula mengurus keutamaan dengan ibadah wajib didahulukan sementara aktiviti lain disusun mengikut kelapangan.
Keberkatan Ramadan bergantung pada niat, pengisian dan keseimbangan amalan. Masjid menyuburkan jiwa sementara expo memperkukuh masyarakat. Dengan hikmah dan pengurusan yang baik, Ramadan menjadi bulan pembangunan ummah secara menyeluruh.
Semoga segala amal ibadah yang khusyuk diterima Allah SWT. –UTUSAN
DR. ANIM ZALINA AZIZAN
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










