SETIAP kali kes buli didedahkan, masyarakat bangkit menyuarakan kebimbangan. Namun selepas beberapa ketika, perhatian mula surut. Kita sering bertindak selepas kejadian berlaku, bukan membina sistem pencegahan yang menyeluruh.
Sudah tiba masanya kita melihat isu buli melalui kerangka yang lebih tersusun dan bersepadu.
Salah satu pendekatan yang wajar diberi perhatian ialah alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Dalam konteks asalnya, ESG digunakan untuk menilai sejauh mana sesebuah organisasi bertanggungjawab terhadap persekitaran, masyarakat dan cara ia ditadbir.
Walaupun konsep ini sering digunakan dalam dunia korporat, prinsipnya amat sesuai diterapkan dalam sistem pendidikan.
Jika prinsip ESG dilaksanakan dengan serius, sekolah dapat membina budaya yang menolak buli sejak awal.
Dari sudut alam sekitar, sekolah perlu memastikan pelajar merasa selamat secara fizikal dan psikologi. Kawalan kawasan, pemantauan ruang berisiko dan penyediaan saluran aduan yang mudah diakses adalah langkah asas yang tidak boleh diabaikan.
Dari sudut sosial, budaya saling menghormati mesti dipupuk secara konsisten. Pendidikan nilai, latihan empati dan program bimbingan rakan sebaya boleh membantu pelajar memahami kesan perbuatan mereka terhadap orang lain.
Apabila pelajar sedar bahawa buli merosakkan seluruh komuniti sekolah, mereka lebih cenderung menolaknya.
Aspek tadbir urus pula menuntut kepimpinan sekolah yang tegas dan adil. Dasar anti-buli mesti jelas, tindakan disiplin mesti konsisten dan setiap aduan perlu disiasat tanpa pilih kasih. Ketelusan dalam pengurusan kes akan meningkatkan keyakinan ibu bapa dan masyarakat.
Namun pencegahan buli tidak boleh dipikul oleh sekolah sahaja. Ia perlu dilihat sebagai satu rantaian nilai sosial.
Apabila pelajar dilibatkan dalam kempen anti-buli dan program kepimpinan sahsiah, mereka menjadi sebahagian daripada penyelesaian.
Komuniti pula memainkan peranan sebagai sokongan luar pagar sekolah. Ibu bapa, alumni, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan boleh bekerjasama menyediakan bimbingan dan sokongan psikososial kepada pelajar.
Komuniti yang prihatin akan membantu mengesan masalah lebih awal sebelum ia menjadi krisis.
Sektor industri juga boleh menyumbang melalui program tanggungjawab sosial. Syarikat teknologi boleh membantu membangunkan sistem pelaporan selamat. Media boleh memperluas kempen kesedaran. Sumbangan sumber dan kepakaran daripada sektor swasta akan memperkukuh usaha sekolah.
Apabila semua pihak bergerak dalam satu kerangka yang sama, rantaian nilai sosial menjadi kukuh. Setiap pihak saling menyokong dan memastikan nilai hormat, empati dan tanggungjawab terus dipelihara.
Memang benar, pelaksanaan pendekatan ini berdepan cabaran. Kekangan kewangan dan beban tugas sedia ada sering dijadikan alasan. Namun kos membiarkan budaya buli jauh lebih besar. Trauma mangsa boleh berpanjangan, reputasi sekolah tercalar dan kepercayaan masyarakat merosot.
Jika prinsip ESG diterapkan dengan serius, dan rantaian nilai sosial digerakkan secara bersama, sekolah bebas buli bukan sesuatu yang mustahil.
Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk membesar dan belajar. Melindungi anak-anak daripada buli bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, tetapi tanggungjawab kolektif seluruh masyarakat.
Inilah pelaburan sosial sebenar untuk membina generasi yang berakhlak, berdaya tahan dan mampu memimpin masa depan negara. – UTUSAN
PROFESOR TS. DR. VEERA PANDIYAN KALIANI SUNDRAM & DR. IRWAN IBRAHIM
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Puncak Alam, Selangor










