KUALA LUMPUR: Penelitian pindaan berkaitan akta bagi memperuntukkan had laju 30 kilometer sejam (km/j) secara khusus di zon sekolah sedang dilakukan Kementerian Pengangkutan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pindaan berkaitan Kaedah-Kaedah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) tersebut dilaksanakan secara komprehensif dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
Katanya, ia termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, PLANMalaysia, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.
“Daripada aspek penguatkuasaan, sebaik sahaja pewartaan had laju 30 km/j dimuktamadkan, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah peruntukan sedia ada Akta 333 oleh PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Penguatkuasaan akan dilaksanakan melalui operasi bersepadu di kawasan sekolah terpilih, pemasangan papan tanda had laju baharu dan penandaan jalan yang jelas, penggunaan kamera penguatkuasaan automatik tertakluk kepada kesesuaian lokasi serta pemantauan berkala pada waktu puncak persekolahan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai mekanisme pelaksanaan penguatkuasaan (tindakan undang-undang) had laju maksimum diturunkan daripada 50 km/j kepada 30 km/j di zon sekolah oleh Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya (JKMKKJR).
Anthony Loke berkata, pada masa sama, kerajaan tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
Katanya, melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Projek Zon Sekolah Selamat sedang dilaksanakan sebagai projek rintis di sekolah berisiko tinggi bagi menyokong pelaksanaan dasar had laju 30 km/j.
“Antara intervensi fizikal di bawah Projek Zon Sekolah Selamat termasuk penyempitan lorong dan pembinaan laluan pejalan kaki, lintasan pejalan kaki bertingkat, pembinaan pulau perlindungan dan pulau tengah serta penambahbaikan papan tanda dan perabot jalan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan yakin gabungan pendekatan kejuruteraan, pendidikan dan penguatkuasaan akan dapat mengurangkan risiko kecederaan serius dan kematian di kawasan sekolah selaras dengan aspirasi Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030.
“Kerajaan melalui JKMKKJR yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada 15 Julai 2024 telah bersetuju menetapkan had kelajuan maksimum 30 km/j di kawasan zon sekolah sebagai dasar nasional bagi meningkatkan keselamatan murid dan warga sekolah. – UTUSAN










