KOTA KINABALU: Sebanyak 968 sekolah di Sabah dikenal pasti masih beroperasi di bangunan daif setakat 31 Disember 2025, menurut maklumat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, data itu diperoleh melalui jawapan lisan KPM di Parlimen berhubung jumlah bangunan sekolah yang diisytihar tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara, termasuk sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran.
“Sehingga hujung 2025, sebanyak 968 sekolah dikategorikan berada pada skala tujuh, iaitu tahap daif. Data ini bersifat dinamik dan boleh berubah dari semasa ke semasa,” katanya.
Daripada jumlah itu, 30 sekolah di kawasan Parlimen Tuaran termasuk SMK Tamparuli dan SMK Tenghilan berada dalam kategori kritikal. Sementara itu, SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu, berada pada skala enam, memerlukan naik taraf dan penyelenggaraan tetapi tidak diklasifikasikan sebagai tahap daif paling kritikal.
Madius berkata isu sekolah daif di Sabah terus menjadi perhatian serius, khususnya dari aspek keselamatan pelajar dan guru, serta keperluan peruntukan pembangunan yang lebih menyeluruh. – UTUSAN










