KONGRES Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) mengecam keras tindakan seorang pelajar universiti awam yang memijak al-Quran dan menyeru agar tindakan tatatertib dilaksanakan secara telus dan saksama mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi memelihara keharmonian masyarakat majmuk serta integriti institusi ilmu negara.
MAAC menegaskan sebarang perlakuan yang menjejaskan harmoni awam perlu ditangani melalui saluran Kaedah-Kaedah Universiti (Tatatertib Pelajar-Pelajar) AUKU 1971 secara saksama.
Insiden ini bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah menuntut penilaian mendalam terhadap tahap kematangan sosial dalam kalangan segelintir mahasiswa.
Selain tindakan perundangan, penekanan harus diberikan kepada pengukuhan literasi silang budaya dan pendidikan sivik untuk mencegah normalisasi tindakan yang tidak beradab.
Sehubungan itu, sebagai badan yang memperjuangkan kebajikan, profesionalisme dan integriti warga akademik universiti awam, MAAC dengan tegas mengecam perbuatan tersebut selain mengharapkan tindakan yang berhemah, berintegriti daripada pihak pengurusan universiti serta pihak berkuasa.
Walaupun permohonan maaf dizahirkan, namun perlu disusuli dengan komitmen substantif terhadap pemulihan adab sekiranya tidak disertai dengan tindakan jelas dan komitmen untuk memperkukuh pendidikan nilai, adab serta kefahaman antara agama dalam kalangan mahasiswa.
MAAC juga menyeru pihak universiti untuk memperkasakan program pembinaan sahsiah melalui pendekatan holistik yang mengutamakan dialog antara agama dan pendidikan sivik yang berstruktur.
Institusi pengajian tinggi memikul mandat besar sebagai medan pembentukan akhlak, maka, pemerkasaan kurikulum tersembunyi yang menyemai nilai tanggungjawab sosial dan kematangan intelektual adalah kritikal. Ini bagi memastikan setiap warga kampus tidak hanya mahir dalam bidang teknikal tetapi juga peka terhadap ekosistem kepelbagaian agama dan budaya di Malaysia. –UTUSAN
KONGRES PERSATUAN AKADEMIK MALAYSIA (MAAC)
Kuala Lumpur










