Mana mungkin berdiam jika artis disamakan dengan air mazi - Utusan Malaysia

Mana mungkin berdiam jika artis disamakan dengan air mazi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DRAMA Band sinonim menghasilkan lagu-lagu yang tersirat dengan kritikan serta teguran sosial.  Maka tidak menghairankan apabila naskhah terbaharu kumpulan ini iaitu Oi! juga dicipta untuk mengangkat isu semasa.

Namun Drama Band kali ini menggunakan pendekatan berbeza kerana lagu tersebut dibuat khusus untuk memberi teguran dan kesedaran kepada pencipta kandungan sensasi Danial Mirza atau DMA Islam.

Menurut vokalis Drama Band, Noor Syaiful Mohd. Zalaludin atau Aepul Roza, sikap biadab Danial yang terkenal dengan perangai ‘cakap lepas’ tidak boleh dibiarkan, justeru individu itu perlu diajar erti budi bahasa dan cara menghormati orang lain.

“Usia kami sudah hampir mencecah 40 tahun. Bukan sikap kami untuk memberi perhatian kepada provokasi yang remeh temeh. 

“Tetapi, apabila muncul individu yang merendahkan dan menghina kerjaya penggiat seni, kami tidak boleh berdiam diri. Kalau kami ambil pendekatan kunci mulut, kami secara langsung membenarkan individu tersebut menanam persepsi negatif dalam fikiran masyarakat terhadap golongan artis.

“Mana mungkin kami berdiam apabila dia menyamakan golongan artis dengan air mazi. Mustahil kami tunduk apabila dia menghina kerjaya yang menjadi punca pendapatan untuk kami sara keluarga. 

“Jadi Individu bernama DMA Islam ini tidak boleh dibiarkan terus menanam persepsi dan membuat provokasi. Kami sedar yang dia perlu dibidas dan ‘diajar’, bukan dengan cara menyalak seperti anjing, tetapi menerusi teguran dan peringatan dalam lagu,” katanya. 

Terdahulu, DMA Islam membangkitkan kemarahan ramai penggiat seni menerusi rantaian kenyataan yang ditujukan khusus untuk menyerang golongan tersebut. 

Selain menyamakan artis dengan air mazi, pencipta kandungan itu turut menyifatkan penggiat seni tiada nilai di sisi masyarakat.

Aepul dalam masa yang sama juga  memaklumkan lagu Oi yang dihasilkan sekitar dua jam itu juga dicipta untuk menyedarkan masyarakat mengenai permainan persepsi yang dimainkan DMA untuk kepentingan peribadinya.

“DMA ini budak licik yang sedang bermain persepsi. Dia tahu, pasti ada netizen yang memberi maklum balas walaupun pandangan yang dimuat naiknya di media sosial menyimpang. 

“Agenda yang sama dimainkannya, namun subjek berbeza. Sasarannya kali ini pula adalah golongan artis. 

“Kami mahu menyedarkan masyarakat yang orang ini sedang bermain persepsi, menjadi dalang kepada ratusan akaun palsu yang diwujudkan untuk menjadi tentera papan kekunci yang seolah-olah menyokong setiap pandangannya di media sosial. Kami juga mahu tunjukkan yang kami bertindak untuk senyapkan dia,” ujarnya.

Aepul dalam pada itu memaklumkan lagu Oi! akan dilancarkan secara rasmi dua minggu selepas Hari Raya Aildilfitri. Katanya, lagu tersebut juga menampilkan seorang penyanyi rap bertaraf legenda.

“Kami akan umum bila tiba masanya nanti. Penyanyi rap yang saya maksudkan ini cukup sesuai untuk mengajar individu seperti DMA Islam ini,” jelasnya.

MASA BERSAMA KELUARGA

Ditanya mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Aepul memaklumkan dia dan anggota Drama Band yang lain memutuskan untuk berehat daripada sebarang aktiviti pentas sepanjang Ramadan.

Katanya keputusan itu membolehkan mereka menghabiskan masa bersama keluarga selain menyiapkan lagu-lagu terbaharu yang akan diperdengarkan selepas hari raya nanti.

“Ini permintaan khusus kepada pengurus kami. Sebolehnya Ramadan ini kami mahu berehat selepas dua tahun tidak bercuti,” katanya. 

Dalam masa yang sama, Aepul juga memaklumkan Drama Band tidak merancang untuk muncul dengan lagu raya pada tahun ini.

“Sebenarnya kami ada merancang mengeluarkan lagu raya sejak tahun lepas. Lagu sudah siap dengan lirik dan melodi, cuma tinggal untuk dirakamkan sahaja. Namun kami belum berkesempatan berbuat demikian. 

“Insya-Allah, tahun depan mungkin ada lagu raya dari Drama Band. Tengok pada rezeki,” jelasnya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN