Kurangkan salah faham, rapatkan jurang antara generasi

Kurangkan salah faham, rapatkan jurang antara generasi

GENERASI muda perlu menghargai pengalaman yang tidak dapat dipelajari dari internet, manakala yang tua harus menerima perubahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURANG generasi sering disalah anggap sebagai pertembungan sikap antara muda dan tua. Sebenarnya, ia berkait rapat dengan perubahan demografi, ledakan teknologi digital, tekanan ekonomi dan transformasi nilai sosial.

Jika diabaikan, jurang ini boleh menjejaskan keharmonian keluarga, keberkesanan organisasi dan keutuhan masyarakat.

Malaysia kini sedang melalui peralihan demografi penting. Lebih 11 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas dan negara dijangka menjadi negara menua menjelang 2030. Pada masa sama, hampir separuh populasi terdiri daripada generasi milenial dan Z, yang membesar dalam dunia digital sepenuhnya. Dua generasi ini hidup dalam ruang sosial sama tetapi dibentuk oleh pengalaman dan teknologi berbeza.

Generasi lebih tua dibesarkan dalam suasana pasca kemerdekaan yang menekankan kepatuhan, disiplin dan pengorbanan. Generasi muda, sebaliknya, dibentuk oleh internet, media sosial dan budaya global, dengan kebebasan bersuara serta gaya kepimpinan mendatar. Perbezaan konteks ini membentuk cara fikir, gaya komunikasi dan keutamaan hidup yang berbeza.

Kajian Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet melebihi 96 peratus, paling tinggi dalam kalangan belia. Majoriti muda mendapatkan maklumat melalui TikTok, Instagram dan YouTube, manakala yang tua lebih cenderung kepada media arus perdana dan komunikasi bersemuka.

Perbezaan saluran ini menimbulkan persepsi generasi muda lantang sementara generasi tua konservatif.

Namun, setiap generasi membawa kekuatan unik. Yang tua menawarkan pengalaman krisis ekonomi, politik dan sosial manakala yang muda menonjol dalam literasi digital, adaptasi pantas dan inovasi.

Dalam pasaran kerja baharu, kemahiran digital, kreativiti dan pemikiran kritis menjadi keperluan, namun tanpa panduan nilai dan etika daripada generasi terdahulu, kemajuan boleh kehilangan arah kemanusiaan.

Institusi keluarga adalah medan pertama membina persefahaman. Tekanan kos sara hidup dan keluarga nuklear mengurangkan interaksi cucu dan datuk nenek, menjejaskan pemindahan nilai dan pengalaman hidup.

Tradisi Melayu-Islam menekankan adab dan rahmah: menghormati yang tua bukan sekadar protokol, menyayangi yang muda bukan bermakna memanjakan tanpa batas. Keseimbangan ini mencerminkan konsep tawazun.

Dalam organisasi, jurang generasi mempengaruhi gaya kerja. Pekerja senior menekankan kesetiaan dan hierarki, generasi muda menghargai fleksibiliti, maklum balas segera dan makna kerja. Organisasi yang bijak melaksanakan mentor-mentee dua hala, meningkatkan kemahiran, empati dan saling menghargai.

Dialog antara generasi di ruang awam dan media sosial perlu bersifat dua hala. Aktiviti komuniti dan projek pembelajaran berasaskan interaksi dengan warga emas boleh membina persefahaman.

Pendidikan pula mesti menekankan literasi digital dan nilai sejarah, memastikan kedua-dua generasi tidak terasing.

Merapatkan jurang generasi menuntut kerendahan ego. Generasi muda perlu menghargai pengalaman yang tidak dapat dipelajari dari internet, manakala yang tua harus menerima perubahan sebagai sebahagian sunnatullah. Sayangi yang muda, hormati yang tua bukan sekadar slogan tetapi komitmen sosial melalui dialog, pendidikan juga dasar inklusif.

Jurang generasi bukan garis pemisah kekal tetapi menjadi ruang untuk empati, ilmu dan kesediaan memahami. Dalam keseimbangan tenaga muda dan hikmah tua, terletak kekuatan sebenar Malaysia Madani. – UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH & PROFESOR DR. S. SALAHUDIN SUYURNO
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN