PETALING JAYA: Generasi muda hari ini dilihat semakin kehilangan keupayaan untuk menumpukan perhatian dalam jangka masa yang panjang, seiring perubahan pesat landskap digital dan tabiat penggunaan media yang semakin pantas.
Menurut Netflix, pelanggan lazimnya membuat keputusan sama ada mahu meneruskan tontonan sesuatu siri dalam tempoh tujuh saat pertama episod awal. Sekiranya kandungan gagal menarik minat dalam tempoh singkat tersebut, penonton cenderung meninggalkannya tanpa meneruskan tontonan.
Fenomena ini seiring dengan dapatan Associated Press mengenai tabiat membaca apabila pada 2000, purata pembaca mampu membaca sekitar 800 patah perkataan dalam tempoh tiga minit.
Namun, menjelang tahun 2011, angka itu merosot dengan ketara kepada kira-kira 300 patah perkataan dalam satu minit, sekali gus mencerminkan kemerosotan daya fokus dan kesabaran membaca dalam kalangan masyarakat.
Naib Presiden Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Mansor Abu Talib berkata, ledakan teknologi yang berkembang pantas membentuk fenomena baharu seperti ‘multifokus’ dan jangka perhatian singkat sekali gus menyumbang kepada budaya ‘multitasking’ dan masalah ‘short attention span’.
Beliau berkata, persekitaran maklumat tidak lagi tertumpu hanya di perpustakaan atau ruang membaca, sebaliknya berada di dalam poket setiap individu.
“Kita sedang berhadapan dengan era serba segera yang didorong oleh persekitaran kehidupan. Ini bukan bermakna wujud kemerosotan kecerdasan berfikir hingga membawa kepada tingkah laku kurang sabar.
“Sebaliknya, kita perlu bijak menentukan maklumat apa yang mahu dicari kerana ia secara tidak langsung menggambarkan tahap kemahiran berfikir yang semakin berkembang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, kemahiran memfokus merujuk keupayaan mengekalkan tumpuan terhadap satu tugas atau naratif dalam satu-satu tempoh, manakala kemahiran berfikir merangkumi proses metakognitif seperti menganalisis, menilai, merenung dan membentuk perspektif sendiri.
“Pada masa kini, kemahiran membaca berubah kepada kemahiran ‘screening’ dan ‘scrolling’ berdasarkan tarikan visual ringkas seperti infografik yang ditawarkan pelbagai sumber,” katanya.
Beliau menambah, untuk mengukuhkan daya tumpuan mendalam, masyarakat perlu membina ‘imuniti kognitif’ melalui aktiviti tanpa digital yang dilakukan secara perlahan dan progresif.
“Contohnya berkebun, aktiviti seni lukisan, ‘art and craft’ atau bermain alat muzik dapat merangsang fokus mendalam serta refleksi dalam tempoh lebih panjang,” katanya.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, dunia hari ini dilihat semakin kehilangan kemampuan menumpukan perhatian dalam jangka panjang akibat penggunaan media sosial, khususnya TikTok.
“Kami sebagai pendidik turut mula mengubah kaedah pengajaran supaya bersesuaian dengan fenomena ini. Namun atribut tersebut perlu diimbangi dengan kemampuan mengekalkan daya tumpuan lebih lama dan berfokus,” katanya.
Menurutnya, meskipun ia menjadi tren semasa, masyarakat perlu diberi latihan dan dorongan supaya kembali berfokus dalam interaksi memperoleh ilmu dan pengetahuan. – UTUSAN










