'KRT perlu pendekatan baharu yang relevan untuk tarik generasi muda'

‘KRT perlu pendekatan baharu yang relevan untuk tarik generasi muda’

MOHAMAD Abdul Hamid (tiga dari kanan) ketika menyampaikan Anugerah Perdana Rukun Tetangga kepada KRT Taman Sungai Dua Utama yang diwakili Timbalan Pengerusinya, Dr. Rozaini Othman pada Majlis Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga Peringkat Negeri Pulau Pinang di Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kawasan Rukun Tetangga (KRT) perlu tampil dengan pendekatan baharu yang lebih relevan agar ia boleh menarik minat generasi muda untuk menganggotai organisasi itu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, pada masa yang sama, KRT juga perlu menjadi lebih inklusif dengan meliputi semua kaum selain responsif terhadap keperluan masyarakat masa kini.

“Oleh itu, saya berharap agar semua 526 KRT yang telah diwujudkan di negeri ini akan dapat melibatkan semua lapisan masyarakat bermula dari golongan belia, wanita, warga emas sehingga ke OKU (orang kurang upaya) agar semua suara didengari dan dirasai dengan lebih berkesan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Jubli Emas 50 Tahun KRT peringkat negeri Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri, Rohai Zahar Nedi serta beberapa kenamaan lain di Machang Bubok di sini, semalam.

Pada majlis yang sama, Mohamad turut menyampaikan Notis Kelulusan Penetapan SRS Baharu serta Notis Kelulusan Penetapan KRT Baharu selain menyampaikan beberapa Anugerah Rukun Tetangga kepada KRT terpilih.

Antara anugerah tersebut ialah Pengurusan Jiran Muda Terbaik, Pengurusan Jiran Warga Emas Terbaik, Pengurusan Projek Inovasi Rukun Tetangga Terbaik, Pengurusan Jiran Wanita Terbaik, Pengurusan Skim Rondaan Sukarela Terbaik, Anugerah Perdana Rukun Tetangga 2025 dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau percaya bahawa kekuatan kebersamaan antara kaum yang sedia terjalin ketika ini mampu menjadikan KRT sebagai nadi pemupukan perpaduan di Pulau Pinang.

Sehubungan itu juga, beliau mahu keberkesanan pelaksanaan program oleh KRT diperkasa melalui semangat yang baharu serta program yang lebih berfokus.

“Ahli KRT juga perlu bijak dalam memanfaatkan penggunaan teknologi seperti TikTok yang boleh menjadi medium mempromosikan aktiviti-aktiviti bermanfaat yang dilaksanakan oleh mereka.

“Medium ini dilihat mampu menjadi capaian pantas antara KRT dan masyarakat setempat selain dianggap sebagai antara kaedah terbaik bagi meningkatkan ‘visibility’ (keterlihatan) KRT di mata masyarakat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini