Bina kembali akhlak generasi muda negara

Bina kembali akhlak generasi muda negara

KITA perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja pintar, tetapi juga beradab generasi yang menjadi rahmat, bukan ancaman kepada masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA minggu kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan rentetan kes jenayah yang amat membimbangkan. Bermula dengan kes pembunuhan tragis melibatkan seorang remaja perempuan, Zara Qairina, kemudian kes menggemparkan pembantu wanita bersama teman lelakinya merogol seorang pelajar di tandas awam.

Belum pun reda kejutan itu, masyarakat terus dikejutkan lagi dengan kes empat remaja sekolah yang bertindak merogol rakan perempuan mereka di dalam kelas sendiri. Paling menyayat hati, kita dikejutkan dengan berita pembunuhan seorang pelajar tingkatan empat menggunakan pisau kerambit dan pisau Rambo.

Rentetan peristiwa ini bukan sekadar catatan hitam dalam lembaran undang-undang, tetapi cerminan jelas betapa parahnya keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja hari ini. Masyarakat tertanya-tanya di mana silapnya kita? Apakah sistem pendidikan gagal? Adakah ibu bapa terlalu leka, atau adakah pengaruh teknologi sudah menjadi “tuhan baharu” dalam kehidupan generasi muda?

Dalam satu persidangan Dakwah Digital di Cyberjaya baru-baru ini, banyak pandangan dan keresahan dilontarkan. Umumnya, mereka sependapat bahawa akar kepada keruntuhan moral dan akhlak generasi muda berpunca daripada tiga asas utama: rumah, persekitaran, dan institusi pendidikan.

Pandangan ini turut disokong oleh ulama terkemuka, Habib Ali Zeinal Abidin, dalam syarahannya mengupas Panduan Mendidik Anak-Anak Gen Z. Beliau menegaskan bahawa sumber pendidikan bukan hanya ilmu yang diperoleh di sekolah atau universiti semata-mata.

Sebaliknya, ilmu yang sejati adalah yang membentuk karakter dan peribadi penerimanya. Untuk memahami watak pendidikan sebenar, kata beliau, kita mesti melihat tiga faktor utama yang membina manusia: Rumah, persekitaran dan madrasah atau sekolah.

RUMAH SEKOLAH PERTAMA ANAK-ANAK
Habib Ali menegaskan bahawa setiap kali Allah menyebut tentang rumah dalam al-Quran, pasti disertakan dengan perintah pendidikan dan bimbingan. Rumah bukan sekadar tempat berteduh, tetapi institusi pertama di mana anak-anak dibentuk akhlak dan fikirannya.

Sebelum anak-anak dibentuk di madrasah, mereka mesti dibentuk di rumah terlebih dahulu. Peribadi remaja dapat dikenal melalui suasana rumahnya, bagaimana ibu bapanya berinteraksi dan siapa kawan-kawan yang mengelilinginya.

Allah menegaskan dalam Surah al-Ahzab bahawa rumah-rumah para isteri Nabi disebut sebagai tempat turunnya ayat-ayat Allah dan hikmah (iaitu sunnah). Rumah Rasulullah adalah rumah yang paling mulia dan menjadi contoh sepanjang zaman kerana di situlah nilai ilmu, akhlak dan kasih sayang dihidupkan.

Rasulullah bersabda, “Ajarkan anak-anakmu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, mencintai ahli baitnya, dan membaca al-Quran.” Ini bermakna pendidikan spiritual mesti bermula seawal usia.

Bahkan al-Quran juga mengajar adab yang sangat halus tentang tatacara dalam rumah. Firman Allah dalam Surah an-Nur, ayat 58:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah anak-anak kamu yang belum baligh meminta izin (sebelum masuk ke tempatmu) tiga kali dalam sehari: sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian pada waktu tengah hari, dan selepas solat Isyak. Itulah tiga waktu aurat bagi kamu…”

Lihatlah betapa Islam memberi perhatian terhadap pendidikan adab, bukan sekadar akademik. Anak kecil pun diajar batas privasi, sopan santun, menghormati wanita dan disiplin asas kepada pembentukan akhlak mulia.

PERSEKITARAN
Faktor kedua yang amat penting ialah persekitaran. Dalam dunia moden, ia tidak lagi terbatas kepada kawan-kawan di luar rumah, tetapi juga dunia maya di hujung jari. Gajet dan telefon pintar kini menjadi guru “halimunan” yang mendidik anak-anak lebih lama daripada ibu bapa sendiri.

Ulama mengingatkan bahawa ketagihan kepada gajet boleh membawa pengaruh buruk yang sukar dibendung. Apa yang anak-anak tonton, siapa yang mereka ikuti di media sosial, semua itu membentuk nilai dan cara fikir mereka.

Rasulullah mengisyaratkan hakikat ini dalam beberapa hadis. Antaranya kisah lelaki yang membunuh 99 orang, kemudian diperintahkan untuk berpindah ke tempat orang soleh agar dapat bertaubat. Ini menunjukkan persekitaran sangat menentukan ke arah mana seseorang akan berubah.

Rasulullah juga bersabda, “Seseorang itu akan terpengaruh dengan agama kawannya. Maka lihatlah dengan siapa kamu berkawan.” Dan diketika lain, apabila ditanya siapakah sebaik-baik teman, baginda menjawab, “Mereka yang apabila kamu lihat, kamu teringat kepada Allah.”

Maka, tidak hairanlah jika akhlak remaja kita kini rosak apabila persekitarannya lebih banyak menayangkan kekerasan, hiburan melampau dan budaya tanpa sempadan. Ibu bapa dan pendidik perlu lebih aktif membimbing anak-anak memilih kawan dan kawalan penggunaan teknologi dengan penuh hikmah.

INSTITUSI PENDIDIKAN
Faktor ketiga ialah madrasah, sekolah dan universiti. Kita perlu menyatakan rasa sedih apabila melihat institusi pendidikan kini terlalu bebas sehingga membiarkan pelajar mengkritik secara terbuka tanpa adab dan tanpa batas. Ilmu yang tinggi tanpa akhlak hanya akan melahirkan manusia yang cerdik tetapi tidak berjiwa.

Sudah sampai masanya pendidikan Tasauf iaitu pendidikan pembersihan jiwa diterapkan di semua bidang pengajian, bukan hanya di fakulti Islam. Pelajar ekonomi, pelajar sains, bahkan pelajar kejuruteraan sekalipun perlu dididik dengan ilmu hati agar mereka tahu nilai ihsan, amanah dan tanggungjawab sosial.

Data hari ini menunjukkan, ramai scammer dan penipu dalam masyarakat hari ini lahir dari institusi pendidikan yang hebat seperti universiti, tetapi kosong dari nilai rohani. Jika pendidikan Tasauf dihidupkan di universiti, insya-Allah ia mampu membentuk manusia berilmu yang takut kepada Allah, bukan manusia yang pandai memanipulasi sistem untuk kepentingan diri.

BANGUN SEMULA TAMADUN JIWA
Setiap ibu bapa perlu sedar bahawa rumah mereka adalah madrasah pertama anak-anak. Berikanlah hadiah bernilai buat anak-anak kita berupa pendidikan moral serta pembentukan sahsiah, menurut sabda Rasulullah.

Setiap guru perlu faham bahawa pelajarnya bukan hanya perlu lulus peperiksaan, tetapi juga lulus dalam ujian kehidupan. Dan setiap anak muda mesti tahu bahawa pilihan kawan dan media yang mereka hadapi setiap hari menentukan masa depan diri mereka sendiri.

Akhir kata, saya mengingatkan bahawa pendidikan sebenar ialah yang menyatukan ilmu dan akhlak, akal dan hati, dunia dan akhirat. Hanya dengan kembali kepada acuan Islam inilah kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja pintar, tetapi juga beradab generasi yang menjadi rahmat, bukan ancaman kepada masyarakat.

“Rumah tanpa ilmu melahirkan kekosongan. Sekolah tanpa adab melahirkan keangkuhan. Masyarakat tanpa agama melahirkan kehancuran.”

Semoga kita semua dapat membina kembali benteng akhlak generasi muda bukan dengan kemarahan atau cercaan, tetapi dengan bimbingan, kasih sayang dan hikmah seperti yang diajarkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad. – UTUSAN

MUHAMAD Nuaim Ishak ialah pelajar pascasiswazah di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×