MENJELANG pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, debaran pastinya dirasai oleh ratusan ribu pelajar dan keluarga mereka di seluruh negara. Berdasarkan makluman Kementerian Pendidikan, keputusan peperiksaan tersebut dijangka diumumkan esok (31 Mac) dan boleh disemak di sekolah masing-masing serta melalui sistem dalam talian.
Kira-kira 413,299 calon telah menduduki peperiksaan ini di lebih 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara. Angka besar ini menunjukkan bahawa setiap tahun ratusan ribu anak muda berada pada titik penting dalam kehidupan mereka.
Dalam jumlah besar ini, sudah tentu terdapat pelajar memperoleh keputusan cemerlang, sederhana mahupun kurang memberangsangkan.
Oleh itu, masyarakat perlu melihat keputusan peperiksaan dengan perspektif lebih luas. Ia bukan ukuran mutlak kecerdasan atau potensi seseorang, sebaliknya sekadar satu penilaian akademik pada satu tahap usia.
Dalam dunia hari ini yang semakin dinamik, kejayaan tidak lagi bergantung semata-mata kepada keputusan peperiksaan. Kemahiran berfikir, kreativiti, keupayaan menyesuaikan diri dan kesungguhan untuk terus belajar menjadi faktor semakin penting.
Sistem pendidikan negara sebenarnya menyediakan pelbagai laluan kepada lepasan SPM. Laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), misalnya, semakin mendapat pengiktirafan kerana mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang amat diperlukan oleh industri.
Institusi seperti politeknik, kolej komuniti dan institut latihan kemahiran menawarkan program dalam pelbagai bidang termasuk teknologi automotif, logistik, hospitaliti, teknologi maklumat dan kejuruteraan.
Ramai graduan daripada laluan kemahiran ini berjaya membina kerjaya stabil malah ada juga menjadi usahawan berjaya. Ini membuktikan bahawa kejayaan tidak terhad kepada satu laluan akademik sahaja.
Bagi pelajar yang mungkin tidak memperoleh keputusan seperti yang diimpikan, terdapat beberapa langkah penting bagi membantu mereka bangkit semula.
Pertama, lakukan penilaian kendiri terhadap minat dan kekuatan diri. Tidak semua individu mempunyai kekuatan dalam pembelajaran berorientasikan peperiksaan. Ada lebih menyerlah dalam bidang kemahiran praktikal, kreativiti atau keusahawanan.
Kedua, dapatkan bimbingan daripada guru, kaunselor sekolah atau penasihat kerjaya. Nasihat tepat mampu membantu pelajar mengenal pasti laluan pendidikan yang sesuai dengan potensi mereka.
Ketiga, jangan berhenti belajar. Dalam era ekonomi digital hari ini, konsep pembelajaran sepanjang hayat menjadi semakin penting. Pelbagai kursus kemahiran, latihan industri dan program dalam talian boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran seseorang.
Setiap tahun, lebih 400,000 pelajar melalui pengalaman menduduki SPM dan sebahagian daripada mereka mungkin tidak mencapai keputusan yang diimpikan.
Namun sejarah membuktikan bahawa ramai individu berjaya bermula dengan keputusan akademik sederhana.Yang membezakan mereka ialah sikap tidak mudah mengalah dan kesediaan untuk terus memperbaiki diri.
Bagi pelajar yang mungkin berasa kecewa apabila keputusan diumumkan nanti, ingatlah bahawa kegagalan bukanlah penamat. Ia hanyalah satu pengalaman pembelajaran yang boleh menjadi titik tolak kepada kejayaan yang lebih besar.
Jangan mudah terpengaruh dengan jalan pintas atau kemasyhuran sementara. Sebaliknya, bina masa depan melalui usaha, kesabaran dan ilmu.
Kerana pada akhirnya, kejayaan sebenar bukan ditentukan oleh satu keputusan peperiksaan, tetapi oleh keberanian untuk bangkit dan terus melangkah ke hadapan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
Jabatan Teknologi dan Pengajian
Rantaian Bekalan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Kampus Puncak Alam










