SELARI dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, peranan alumni sebagai rakan strategik universiti menjadi semakin relevan dan kritikal.
RPTM yang menekankan pembangunan graduan holistik, peningkatan kebolehpasaran bakat, pengukuhan jaringan universiti-industri serta kelestarian institusi memerlukan penglibatan aktif semua pemegang taruh.
Ironinya, walaupun bilangan alumni ramai namun tidak semua universiti berjaya memanfaatkan peranan mereka secara optimum dan strategik. Sumbangan alumni boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk yang memberi impak langsung kepada universiti dan pelajar.
Dari sudut kewangan, alumni boleh menyumbang melalui dana biasiswa, tabung kebajikan pelajar, sokongan kepada penyelidikan serta pembangunan infrastruktur universiti.
Sumbangan ini amat bermakna, khususnya dalam membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, sejajar dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi teras pembangunan negara.
Selain itu, alumni boleh berkongsi kepakaran dan pengalaman industri melalui program mentor-mentee, syarahan jemputan, bengkel kerjaya serta penglibatan sebagai panel penasihat fakulti.
Penyediaan peluang latihan industri dan penempatan pekerjaan oleh alumni secara langsung menyokong agenda kebolehpasaran graduan, sekali gus merapatkan jurang antara latihan akademik dan keperluan sebenar pasaran kerja.
Bagi memastikan sumbangan alumni dapat digembleng secara berkesan, universiti perlu memainkan peranan proaktif dengan membuka ruang dan peluang yang jelas serta mesra alumni.
Ini termasuk mewujudkan struktur pengurusan alumni yang mantap, platform komunikasi dua hala yang berterusan serta inisiatif yang relevan dengan minat dan kemampuan alumni.
Pendekatan yang inklusif dan berfokus kepada impak akan menggalakkan penglibatan alumni secara lebih meluas dan berterusan.
Justeru, agenda memperkasa peranan alumni sebagai rakan strategik wajar disepadukan secara lebih sistematik dalam ekosistem tadbir urus dan pembangunan universiti agar dapat mencapai aspirasi RPTM 2026-2035.
Penglibatan alumni perlu terus diperteguh secara berstruktur dan berfokus kepada impak kerana sumbangan mereka berupaya melonjakkan kebolehpasaran graduan, merapatkan jurang universiti-industri serta menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan dan kemajuan negara secara menyeluruh dalam jangka panjang. – UTUSAN
FAHMI AZAR MISTAR
Pengarah Pusat Perhubungan Alumni
Universiti Putra Malaysia (UPM)










