Perang di Asia Barat menekan perbelanjaan rakyat

Perang di Asia Barat menekan perbelanjaan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANG di Asia Barat tercetus lagi. Perang kali ini adalah antara antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Apabila perang berlaku, kita sering berfikir mengenai peta peperangan dan aset ketenteraan. Dalam minda meneka siapa yang menang dan siapa yang kalah.

Bagi saya, setiap letupan di Asia Barat memberi kesan besar kepada dunia termasuklah Malaysia. Sedar atau tidak sebenarnya peluru-peluru di sana menghantar gegaran yang cukup kuat ke dalam buku kira-kira syarikat dan belanjawan dapur rakyat Malaysia.

Pada hemat saya, konflik ini bukan sekadar isu sempadan sebaliknya ujian besar terhadap akauntabiliti kewangan dan ketahanan ekonomi negara.

Dari sudut perakaunan makro, pertembungan ini bukan hanya soal mengadu kekuatan teknologi malah ketahanan poket setiap daripada kita.

Persoalannya, berapa lamakah sesebuah negara mampu bertahan dengan kadar pembakaran kewangan yang luar biasa tinggi ini?

Kita belajar daripada pengalaman di Ukraine bahawa kos untuk satu sistem pemintas peluru berpandu jauh lebih mahal. Malah dari sudut kecekapan, pemintas ini lebih lambat berbanding serangan yang diterima.

Jika objektif strategik gagal dicapai dengan kos yang melangit, maka pemimpin di Washington mahupun Tel Aviv bakal berdepan audit rakyat yang boleh menjejaskan legitimasi kepimpinan akibat tekanan ekonomi domestik.

Dari sudut Selat Hormuz dan penilaian aset, sudah tentu peperangan ini memberikan impak yang besar. Hal ini kerana hampir 20 peratus bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz.

Jika laluan ini terganggu, ia bukan sahaja menaikkan harga minyak di stesen minyak, malah merubah keseluruhan struktur kos perniagaan dan perbelanjaan.

Dari sudut perakaunan korporat, syarikat-syarikat di Malaysia perlu mula menilai semula kemerosotan nilai aset.

Ketidaktentuan ini memaksa akauntan pengurusan melakukan simulasi ujian tekanan yang lebih kerap. Hal ini penting bagi memastikan rantaian bekalan dan aliran tunai syarikat tidak lumpuh akibat lonjakan kos logistik dan insurans perkapalan yang mungkin naik mendadak. Kesannya mungkin sedikit dirasai sekarang tetapi lebih besar pada bulan-bulan akan datang.

 

PEPERANGAN antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) memberi impak yang besar memandangkan hampir 20 peratus bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz.

KEBIJAKSANAAN TADBIR URUS

Selain itu, sebagai negara ekonomi terbuka, seperti juga negara-negara lain, Malaysia tidak mempunyai perisai automatik daripada gelombang ini. Namun, kebijaksanaan terletak pada tadbir urus strategik.

Kerajaan perlu menyediakan pelan kontingensi yang jelas untuk mendepani inflasi. Pengukuhan rizab strategik petroleum dan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui perlu menjadi langkah mitigasi risiko kewangan jangka panjang yang kritikal. Langkah ini penting bagi mengurangkan kerentanan negara terhadap kejutan geopolitik.

Tindak balas paling matang untuk sektor korporat mahupun awam ketika ini boleh jadi pelbagai. Dalam dunia perakaunan, pendedahan risiko bukan lagi sekadar memenuhi piawaian pelaporan tahunan tetapi amanah kepada pemegang taruh.

Syarikat-syarikat besar, terutamanya yang tersenarai, perlu jujur mendedahkan sejauh mana konflik di Asia Barat boleh memberi impak kepada prestasi kewangan mereka. Saya melihat ketelusan ini penting bagi mengelakkan kejutan pasaran yang boleh menghancurkan keyakinan pelabur.

Biarlah pelabur tahu realiti pendedahan risiko syarikat agar mereka tidak terpinga-pinga apabila berlaku volatiliti dalam pasaran saham kelak. Keputusan pelaburan yang dibuat lebih strategik dengan ketelusan risiko yang dilaporkan.

Dalam pada itu, bagi seorang akauntan, pengurusan aliran tunai adalah nadi kepada kelangsungan perniagaan. Aliran tunai penting lebih-lebih lagi dalam fasa konfrontasi terbuka ini.

Naratif ‘tunai adalah raja’ menjadi sangat kritikal apabila kita berdepan kemungkinan kenaikan kos operasi luar jangka. Peningkatan kos ini berlaku kerana lonjakan harga bahan api atau gangguan logistik akibat daripada peperangan yang berlaku.

Bagi mendepani isu ini, organisasi perlu lebih berdisiplin dalam memastikan tahap kecairan berada pada paras optimum. Organisasi tidak boleh hanya sekadar mengejar keuntungan di atas kertas. Tahap kecairan ini perlu dalam kira-kira syarikat agar mempunyai ‘peluru’ kewangan yang cukup untuk menyerap sebarang kejutan ekonomi yang datang mendadak.

Bagi syarikat, langkah untuk melakukan audit menyeluruh terhadap kontrak-kontrak logistik dan bekalan sedia ada adalah sesuatu yang perlu. Dari perspektif perakaunan strategik, syarikat tidak boleh lagi bergantung kepada terma kontrak tradisional yang statik.

Syarikat perlu memasukkan klausa pelindung kewangan yang lebih komprehensif bagi mendepani gangguan global. Klausa pelindung ini merupakan strategi perakaunan yang bijak untuk memindahkan risiko kewangan.

Perkara ini penting untuk melindungi margin keuntungan syarikat daripada ‘bocor’ akibat denda atau kenaikan kos bekalan yang tidak terkawal. Ia juga dapat memastikan kestabilan kewangan jangka panjang organisasi tetap terpelihara di tengah-tengah badai geopolitik.

Sebagai kesimpulan, konflik Iran-AS-Israel adalah peringatan bahawa dunia sangat saling berkait. Melalui kaca mata perakaunan, kebijaksanaan bukan bermakna kita perlu memilih pihak. Apa yang lebih penting ialah kita perlu beri perhatian serius, bijak membaca data dan bersiap sedia.

Di tengah-tengah badai geopolitik yang semakin tidak menentu ini, ketepatan strategi dan ketegasan dalam mengurus risiko kewangan adalah benteng sebenar yang akan memelihara kepentingan nasional kita. –UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Ram Al Jaffri Saad ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×