Memartabatkan bahasa Melayu di sektor swasta

Memartabatkan bahasa Melayu di sektor swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan ramai etnik Cina lulus mata pelajaran bahasa Melayu dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) memperoleh gred yang baik sekali. Dengan kata lain, mereka berjaya dengan cemerlang dalam mata pelajaran wajib lulus itu.

Namun mereka ini rata-ratanya tidak boleh membuktikan kejayaan cemerlang pada SPM itu apabila diajak berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Ini apabila cara pertuturan dalam bahasa Melayu didengar jelik sehingga boleh dianggap sebagai bertutur dalam bahasa pasar.

Berkenaan bahasa pasar, ia selalu disalah faham sebagai bahasa basahan, yakni bahasa kolokial. Dalam pada ini, bahasa basahan ialah bahasa percakapan, iaitu ragam bersahaja dan tidak formal. Meskipun begitu, ia mematuhi sistem sesuatu bahasa itu.

Ia digunakan oleh semua penutur sesebuah bahasa itu pada kebanyakan masa, melainkan dalam komunikasi formal atau rasmi.

Dalam pada ini, ia mengandungi perkataan dan ungkapan yang didapati tidak sesuai digunakan dalam pertuturan lisan formal, apatah lagi tulisan rasmi. Antara sifatnya termasuklah penggunaan singkatan daripada yang bentuk penuh, seperti ‘sikit’ untuk ‘sedikit’ dan ‘napa’ bagi ‘kenapa’.

Selain ini, perkataan ‘kena’ dan ‘tengah’, seperti pada ungkapan ‘kena tangkap’ dan ‘tengah makan’, yang perlu menjadi ‘ditangkap’ dan ‘sedang makan’ dalam bentuk formal.

Selanjutnya singkatan daripada kata terbitan. Contohnya adalah ‘nanya’ dan ‘ngelak’ daripada ‘menanya’ dan ‘mengelak’.

Penguasaan bahasa Melayu dalam bentuk bahasa pasar ini antaranya kerana dipelajari semata-mata atas dorongan instrumental.

Dorongan ini merujuk niat dan usaha mempelajarinya hanya untuk memenuhi syarat tertentu yang ditetapkan. Antaranya wajib lulus mata pelajaran bahasa Melayu untuk memperoleh sijil penuh pada peperiksaan awam tempatan yang diduduki itu.

Dengan ini, bahasa Melayu dipelajari dengan habis-habisan melalui apa-apa jua cara. Antaranya dengan menghafal apa sahaja agar gred diperoleh nanti sekurang-kurangnya kelulusan minimum yang diperlukan.

Selepas berjaya memenuhi syarat itu, bahasa Melayu tidak lagi penting dalam hidup etnik Cina yang rata-ratanya tidak mahu pun menceburi sektor awam untuk pekerjaan dan kerjaya mereka. Sebaliknya mereka berada dalam sektor swasta.

Dengan ini, kegiatan termasuk ekonomi kendalian pihak swasta adalah bukan entiti kerajaan.

Disebabkan sektor swasta adalah bahagian daripada sistem negara yang tidak berada di bawah kawalan kerajaan secara langsung, maka tidak tertakluk secara terus kepada dasar awam negara termasuklah penggunaan bahasa Melayu walaupun merupakan bahasa negara, yang berperanan sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dihadkan kepada hanya urusan dengan kerajaan pusat, negeri dan badan awam sahaja. Ini dapat dilihat pada Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan. Dengan ini, ia hanya wajib digunakan apabila berurusan secara rasmi dengan entiti kerajaan.
Pun begitu, ia tidak diwajibkan dalam sektor lain selain awam. Justeru bahasa Melayu tidak dilihat sebagai keperluan, apatah lagi kemestian dalam mengurus sektor swasta.

Walaupun bahasa Melayu digalakkan dalam sektor swasta, namun tidak diendahkan langsung kerana galakan itu tidak sesekali terikat secara perundangan. Oleh itu, ia bagai mencurah air ke daun keladi.

Hal ini berbeza sekali dengan yang di tempat lain. Antaranya di Indonesia. Sektor swasta di sana dikawal ketat oleh perundangan. Antara yang penting ialah Peraturan Presiden 63/2019 tentang Penggunaan Bahasa Indonesia dan Undang-undang 24/2009 mengenai bendera, bahasa dan lambang negara serta lagu kebangsaan.

Sehubungan ini, dua perundangan itu mewajibkan penggunaan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi untuk perniagaan, kontrak dan perjanjian dalam kalangan rakyat. Ia sangat penting kerana mempunyai implikasi perundangan yang boleh membawa pembatalan sesuatu urusan oleh mahkamah apabila bahasa Indonesia tidak digunakan.

Meskipun begitu, bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris dibenarkan bagi perniagaan antarabangsa.

 

TIBA masanya penggunaan bahasa Melayu diperluaskan, termasuk dalam urusan komersial dan komunikasi rasmi di tempat kerja, agar kedudukannya sebagai bahasa negara benar-benar dimartabatkan.

 

PERLUAS PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Sebenarnya peruntukan perundangan kita, khususnya Perkara 152 (6) tentang penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bukan sahaja sangat sempit, juga terhad sekali. Dalam hal ini, ia terbatas hanya kepada entiti kerajaan, itupun dalam berurusan oleh kerajaan dan daripada rakyat.

Sudah tiba masanya untuk cakupan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi diperluas. Antaranya termasuklah untuk perjanjian komersial yang melibatkan rakyat Malaysia, sama ada antara individu ataupun organisasi tempatan.

Selanjutnya komunikasi rasmi pada lingkungan kerja, baik di sektor awam mahupun swasta hendaklah berlaku dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan penamaan untuk tempat geografi, bangunan dan jenama dagang.

Sesungguhnya untuk semua ini dan banyak yang lain boleh berlaku dengan berkesannya, versi bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan yang sudah sangat lama tertangguh untuk menjadi naskah sah, hendaklah segera dipercepat. Ia seharusnya dilakukan semalam lagi, yakni menggunakan idiom dan hiperbola bahasa Inggeris.

Dalam hal ini, ia merupakan tugas sangat penting memandangkan hal ini sudah lama tertangguh, maka hendaklah diselesaikan secepat mungkin.

Dengan kata lain, perkara ini sudah lama menjadi keutamaan yang mendesak kerana sepatutnya dilaksanakan sejak 2003 lagi, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12 yang memerintah dari 2001 hingga 2006.

Oleh itu, hal ini hendaklah dibereskan sesegera yang boleh dan tidak boleh ditangguh-tangguhkan lagi.

Implikasi daripada kelewatan ini antaranya kegagalan negara untuk mematuhi pegangan pada penggunaan lambang negara.

Antaranya bahasa Melayu sebagai bahasa bahasa rasmi. Sehubungan ini, bahasa Melayu yang wajib digunakan dalam sistem perundangan negara, lebih-lebih lagi pada Perlembagaan Persekutuan selaku perundangan tertinggi Malaysia, bukan sahaja dipandang sepi. Juga enggan direalisasikan.
Ini dapat dilihat daripada sikap pelbagai pihak, termasuklah golongan pengamal undang-undang selain kerajaan sendiri. Mereka ini didapati tidak menyakini keupayaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan.

Ironi sekali apabila pada satu segi, kerajaan melaungkan keperluan memartabatkan bahasa Melayu. Akan tetapi pada segi lain, ia ibarat telunjuk lurus kelingking berkait, yakni wujud perbezaan antara penampilan luaran dan jiwa dalaman.

Dengan perkembangan sebegini, ia memberi gambaran bahasa Melayu tidak pun dihormati, apatah lagi dihargai. Dengan ini, tidak hairan sama sekali apabila terdapat rakyat yang tidak bersikap positif terhadapnya. Ini kerana apabila guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari, iaitu perkara tidak baik mudah sekali ditiru.

Dalam hal ini, sikap acuh tidak acuh dalam bidang perundangan, khususnya pada perkara sangat penting untuk menjadikan versi bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan sebagai naskhah sahnya, hendaklah berubah ke arah positif.

Ini penting sekali untuk dicontohi rakyat. Ini kerana kerajaan sendiri didapati bukan sahaja amat cakna tetapi mengambil inisiatif dan tindakan, selain menerajui dan bertanggungjawab dalam hal memartabatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini. –UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×