MALAYSIA bertuah kerana memiliki hutan hujan tropika berusia jutaan tahun, rangkaian sungai yang luas serta kepelbagaian biologi antara terkaya di dunia. Khazanah ini bukan sekadar warisan alam semula jadi, malah menjadi asas kepada keselamatan makanan, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Dalam era perubahan iklim, tekanan pembangunan dan ketidaktentuan ekonomi global, pengurusan alam sekitar tidak lagi boleh dianggap isu sampingan sebaliknya strategik yang menentukan masa hadapan negara.
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menjadi instrumen utama kawal selia pencemaran, manakala pengurusan hutan diselaraskan melalui agensi perhutanan di peringkat Persekutuan serta negeri.
Komitmen negara terhadap perjanjian antarabangsa berkaitan perubahan iklim dan biodiversiti turut menunjukkan kesungguhan Malaysia mematuhi piawaian global. Pelaksanaan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), pensijilan pengurusan hutan mampan serta peluasan kawasan perlindungan membolehkan litupan hutan negara kekal melebihi separuh keluasan tanah, satu pencapaian yang wajar dipertahankan.
Namun cabaran sebenar bukan terletak pada dasar, sebaliknya pada pelaksanaan dan penyelarasan.
Perbezaan bidang kuasa antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam urusan guna tanah sering mewujudkan jurang tadbir urus. Pada masa sama, pembangunan pesat sektor perladangan, perindustrian dan perbandaran terus memberi tekanan kepada ekosistem semula jadi.
Perubahan iklim pula meningkatkan risiko banjir besar, kemarau dan tanah runtuh yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. Kos pemulihan bencana yang mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun membuktikan kerosakan alam sekitar akhirnya membebankan kewangan negara.
Konflik manusia dan hidupan liar di kawasan pinggir hutan semakin ketara, manakala isu pencemaran sungai serta pengurusan sisa pepejal masih belum diselesaikan secara menyeluruh. Keadaan ini menuntut pendekatan bersepadu yang menekankan pencegahan, bukan sekadar pemulihan selepas bencana berlaku.
Pendidikan alam sekitar wajar diterapkan secara lebih sistematik di sekolah rendah supaya tidak sekadar menjadi topik sampingan. Kanak-kanak perlu memahami kepentingan kitar semula, fungsi hutan sebagai kawasan tadahan air serta peranan paya bakau sebagai benteng semula jadi daripada hakisan dan ribut.
Pendekatan pembelajaran berasaskan projek seperti kebun sekolah, audit tenaga mini dan kempen bebas plastik mampu membentuk tabiat lestari sejak usia muda. Apabila ibu bapa dan komuniti turut terlibat, kesedaran alam sekitar dapat dipupuk secara lebih menyeluruh.
Selain pendidikan formal, kempen kesedaran awam perlu dilaksanakan secara konsisten dan dekat dengan kehidupan rakyat. Penjagaan sungai misalnya boleh dikaitkan dengan jaminan bekalan air bersih, manakala pemeliharaan hutan berkait rapat dengan perlindungan daripada banjir.
Media arus perdana dan media sosial harus menjadi rakan strategik dalam menyampaikan mesej secara berterusan agar kesedaran tidak hanya muncul ketika tragedi berlaku.
Dari sudut dasar, pemindahan fiskal ekologi kepada negeri yang mengekalkan kawasan perlindungan wajar diperkukuh bagi memberi insentif kewangan yang jelas. Penggunaan teknologi pemantauan satelit serta sistem data bersepadu boleh meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan pengurusan sumber alam.
Pada masa sama, penglibatan komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli dan penduduk luar bandar melalui model pengurusan bersama hutan dan sungai perlu diperluas.
Malaysia juga perlu mempertimbangkan mekanisme percukaian hijau seperti cukai karbon bagi menghantar isyarat pencemaran mempunyai kos ekonomi. Hasilnya boleh disalurkan kepada pembangunan tenaga boleh baharu, pengangkutan awam hijau serta bantuan kepada industri kecil beralih kepada teknologi bersih selaras dengan tuntutan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global.
Akhirnya, pengurusan alam sekitar negara perlu beralih daripada pendekatan eksploitasi kepada pendekatan regeneratif yang menumpukan pemulihan ekosistem dan penambahan nilai sumber sedia ada.
Untuk ini, memerlukan kepimpinan politik yang jelas, penyelarasan dasar yang kukuh serta komitmen seluruh rakyat. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. AZLAN ABAS
Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










