ISKANDAR PUTERI: Pakatan Harapan (PH) Johor mencadangkan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, langkah itu adalah kerana ia menjimatkan kos dan mengurangkan perbelanjaan parti yang bertanding.
“Cadangkan itu adalah bertujuan untuk menjimatkan kos yang turut melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga semua (kos) yang terlibat.
“Kalau dua kali pilihan raya (PRN dan PRU-16 berasingan), maknanya semua sekali parti yang terlibat perlu mendapat dan mencari dana untuk pilihan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Pimpinan PH Johor Bersama Media Johor di sini semalam.
Ketua Pengimbang Johor, Andrew Chen Kah Eng dijangka akan membawa usul kepada kerajaan negeri mencadangkan PRN Johor dan PRU-16 diadakan secara serentak.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata, pihaknya menjangkakan pertemuan tersebut akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengutarakan cadangan tersebut.
“Kami berpandangan adalah lebih baik buat sekali sahaja (PRN dan PRU). Sekiranya pilihan raya peringkat negeri dan Pusat diadakan secara berasingan, ia akan mengganggu urusan pentadbiran kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN










