PETALING JAYA: Ramai anak perantau dari Sabah dan Sarawak memilih untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur ekoran tambang penerbangan yang masih tinggi.
Seorang jurukamera sambilan, Mohd. Erwannizam Osmand, 25, berkata, walaupun kerajaan menetapkan harga maksimum tambang penerbangan sehala RM499, namun jumlah itu masih tidak mampu ditanggung sesetengah golongan.
Menurutnya, perkara itu disebabkan terdapat kos lain yang perlu diambil kira seperti pengangkutan darat, kereta sewa dan perbelanjaan tambahan selepas tiba di destinasi.
“Ramai yang hanya melihat kos tiket kapal terbang, tetapi tidak mengambil kira kos pengangkutan darat selepas tiba di destinasi.
“Saya perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM600 hingga RM800 termasuk tiket kapal terbang dan sewaan kereta.
“Memandangkan perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat mengambil masa sekitar empat hingga lima jam, saya tiada pilihan selain daripada menyewa kereta jika ingin pulang,” katanya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak meningkat antara 170 hingga 280 peratus susulan permintaan tinggi dalam kalangan perantau di Semenanjung yang ingin pulang menyambut Aidilfitri.
Bagi tiket tambang murah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sabah, harga ditawarkan antara RM564 hingga RM591.22 bagi perjalanan sehala bergantung kepada syarikat dan waktu penerbangan.
Bagi pekerja am, Ali Danial Hussein, 25, dia memilih untuk pulang ke kampung selepas Aidilfitri kerana harga tiket pada waktu tersebut lebih rendah berbanding musim perayaan.
Katanya, walaupun cuba mendapatkan tiket lebih awal, kekangan kewangan menyebabkan dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang ke kampung halaman di Sarawak.
“Tipulah kalau saya kata tidak rindu kampung, tetapi dengan tekanan kewangan sekarang, saya terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang ke bulan lain.
“Anggaran kos tiket dan pengangkutan sahaja sudah memakan lebih separuh daripada gaji saya yang baru mula bekerja, jadi menangguhkan pulang adalah pilihan terbaik,” katanya.
Bagi penuntut universiti, Nurul Hikmah Rumaini, 24, pula, walaupun harga tiket dikatakan sebagai tambang murah, jumlah tersebut masih dianggap mahal bagi kebanyakan pelajar.
Katanya, ada pelajar terpaksa melakukan kerja sambilan bagi mengumpul wang supaya dapat pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
“Walaupun usaha ini membantu, ia masih belum mencukupi kerana mereka juga perlu menanggung pelbagai perbelanjaan lain seperti baju raya, duit poket dan keperluan harian sepanjang sambutan perayaan,” katanya. – UTUSAN








