Peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sering dijadikan simbol kejayaan serta penanda aras kecemerlangan akademik.
Namun cara pengumuman yang dibuat secara terbuka di peringkat kementerian lengkap dengan perbandingan negeri, daerah dan sekolah semakin menimbulkan persoalan besar tentang kesannya terhadap kesejahteraan murid, profesionalisme guru dan roh pendidikan itu sendiri.
Justeru, sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan secara serius untuk menghentikan pengumuman keputusan peperiksaan awam di peringkat kementerian dan menyerahkannya sepenuhnya kepada pihak sekolah.
Pengumuman secara berpusat mengubah fokus pendidikan daripada perkembangan individu murid kepada persaingan statistik. Peratus kelulusan, gred purata sekolah dan kedudukan negeri menjadi tajuk utama, manakala usaha, kemajuan dan konteks sebenar murid sering terpinggir.
Sekolah di kawasan bandar dengan kemudahan lengkap terus berada di hadapan, sementara sekolah luar bandar dan berlatarkan sosioekonomi rendah dilabel lemah, walaupun mungkin mencatat peningkatan yang signifikan.
Budaya perbandingan melampau ini bukan sahaja tidak adil, malah menghakis semangat pendidikan yang seimbang dan inklusif.
Pengumuman besar-besaran juga meletakkan tekanan emosi yang tinggi kepada murid, seolah-olah nilai diri mereka ditentukan oleh satu set keputusan yang dibandingkan di peringkat nasional.
Bagi sesetengah murid, keputusan yang tidak memenuhi jangkaan boleh mencetuskan rasa rendah diri, keresahan dan hilang motivasi. Guru pula berhadapan tekanan untuk mengejar angka dan imej sekolah, sehingga tumpuan kepada pembangunan sahsiah, kemahiran dan minat murid semakin terpinggir.
Hakikatnya, setiap sekolah mempunyai konteks yang berbeza. Guru dan pentadbir sekolah lebih memahami latar belakang, cabaran serta perjalanan pembelajaran murid mereka.
Pengumuman keputusan di peringkat sekolah membolehkan pencapaian murid dinilai secara lebih adil dan bermakna. Peningkatan kecil tetapi signifikan sementara usaha berterusan dan ketahanan murid menghadapi cabaran hidup dapat diraikan sebagai kejayaan yang sebenar, bukan sekadar bilangan A.
Pendekatan ini juga menggalakkan budaya sokongan, bukannya persaingan. Di sekolah, keputusan boleh disampaikan dalam suasana yang membina, dengan penekanan kepada usaha, potensi dan hala tuju seterusnya.
Ibu bapa pula dapat berbincang secara langsung dengan guru tentang kekuatan dan kelemahan anak, serta langkah penambahbaikan yang realistik. Ini jauh lebih berkesan berbanding menilai anak melalui perbandingan angka di media.
Data peperiksaan masih penting untuk perancangan dasar, pengagihan sumber dan intervensi sokongan. Namun penggunaannya wajar bersifat profesional, berorientasikan pembaikan, bukan pendedahan atau tekanan awam.
Pendidikan bukan tentang siapa di tangga teratas tetapi sejauh mana setiap murid dibantu untuk berkembang mengikut potensi masing-masing.
Akhirnya, dengan mengembalikan pengumuman keputusan kepada sekolah membolehkan kita melangkah ke arah sistem pendidikan yang lebih adil, berperikemanusiaan dan berteraskan pembangunan insan.
Kejayaan sebenar tidak terletak pada angka yang diumumkan di peringkat pusat tetapi pada kemampuan sistem pendidikan membimbing setiap anak Malaysia menjadi insan yang yakin, berdaya tahan dan bermakna kepada masyarakat. – UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










