APABILA tiba musim majlis anugerah sekolah, suasana dalam media sosial sering dipenuhi dengan gambar pelajar memegang sijil kecemerlangan, trofi dan pelbagai bentuk penghargaan.
Kejayaan seperti ini sudah tentu memberi kebanggaan kepada ibu bapa, guru dan para pelajar. Perkara ini menjadi bukti usaha gigih sepanjang tahun dan sewajarnya diraikan.
Namun begitu, kejayaan tidak seharusnya dinilai hanya melalui pencapaian akademik. Sepanjang proses pembelajaran dan perkembangan diri, pelajar menghadapi pelbagai bentuk cabaran.
Ada yang sedang belajar mengurus emosi dengan lebih baik, ada yang berusaha memperbaiki tingkah laku dan ada juga yang sedang cuba membentuk tabiat positif seperti menepati masa, menjaga adab serta mengutamakan tanggungjawab.
Usaha kecil sebegini mungkin tidak dilihat sebagai kejayaan dalam definisi umum tetapi sebenarnya mempunyai kesan besar dalam perkembangan sahsiah dan disiplin diri pelajar.
Pendidikan yang seimbang merangkumi pencapaian akademik, pembentukan sahsiah dan pembangunan kemahiran sosial.
Pelajar yang mempunyai empati, mampu bekerja dalam kumpulan, tahu menghormati perbezaan pendapat serta boleh menjaga tingkah laku, juga menunjukkan kecemerlangan yang wajar dihargai.
Sifat-sifat ini mungkin tidak boleh diukur oleh sistem peperiksaan tetapi ia sangat penting dalam kehidupan sebenar.
Guru dan ibu bapa memegang peranan penting dalam memperluas definisi kejayaan. Setiap pelajar mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri.
Tidak semua menyerlah dalam peperiksaan tetapi mungkin cemerlang dalam bidang seni, sukan, kepimpinan atau kemahiran vokasional.
Penting untuk kita menilai kemajuan pelajar berdasarkan titik mula masing-masing. Seorang pelajar mungkin tidak mencapai keputusan terbaik tetapi jika dilihat dari segi usaha dan peningkatan, dia telah menunjukkan kemajuan yang besar.
Sikap menghargai perkembangan individu seperti ini mampu menggalakkan pelajar terus berusaha tanpa merasa tersisih.
Sekolah juga boleh memainkan peranan dengan memberi ruang untuk mengiktiraf pelajar dalam pelbagai aspek.
Program yang memberi penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan disiplin tinggi, kemajuan tingkah laku atau semangat membantu rakan boleh memberi mesej jelas bahawa semua bentuk usaha adalah berharga.
Dengan pendekatan ini, pelajar akan memahami bahawa kejayaan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja.
Untuk memastikan kefahaman ini lebih meluas dan berakar dalam sistem pendidikan, peranan masyarakat turut menjadi faktor penting.
Masyarakat perlu membina persepsi yang lebih inklusif terhadap makna kejayaan agar setiap potensi dapat dihargai, bukan hanya melalui keputusan peperiksaan.
Dalam dunia pendidikan masa kini yang semakin mencabar, keupayaan pelajar untuk berfikir secara kreatif, menyesuaikan diri dengan perubahan, berkomunikasi dengan berkesan dan menunjukkan integriti adalah ciri-ciri kejayaan yang sebenar.
Setiap pelajar sedang meniti laluan kehidupan masing-masing. Ada yang sudah bersedia untuk ke hadapan, ada yang masih bertatih dan ada yang memerlukan lebih masa serta dorongan.
Namun, semuanya sedang belajar dan berkembang. Apa yang mereka perlukan adalah sokongan yang konsisten, pengiktirafan yang adil serta kepercayaan bahawa setiap langkah kecil mereka membawa makna.
Dengan melihat kejayaan secara menyeluruh, kita bukan sahaja menghargai pencapaian akademik tetapi juga menyemai harapan dan keyakinan dalam diri pelajar.
Mereka akan lebih yakin untuk terus melangkah. Kita sebagai orang dewasa seharusnya akan lebih terbuka dalam mendidik generasi masa depan. – UTUSAN
SYED AZMAN SYED ISMAIL & PROFESOR MADYA DR. SITI MISTIMA MAAT
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia










