Kini, universiti bukan sahaja dituntut cemerlang dalam akademik dan penyelidikan tetapi juga perlu cekap, responsif dan tersusun dari segi tadbir urus.
Institusi pendidikan tinggi (IPT) kini mengurus ribuan pelajar, pelbagai program pengajian, projek penyelidikan, aset kampus serta kerjasama dengan industri dan komuniti.
Tadbir urus tangkas bermakna membuat keputusan dengan cepat, jelas tanggungjawab, menyelaraskan kerja dan memastikan perkhidmatan diberikan dengan pantas tanpa menjejaskan kualiti mahupun integriti.
Ketangkasan perlu diterjemahkan menjadi budaya, bukan inisiatif sementara. Apabila setiap urusan memerlukan terlalu banyak tandatangan atau pengguna perlu mengulangi maklumat yang sama, ini menunjukkan perlunya penambahbaikan.
Mengurangkan masa proses berulang dan memperjelas tanggungjawab membolehkan keputusan diambil dengan lebih cepat dan efektif.
Selain itu, kecekapan proses turut mengukuhkan integriti. Dalam suasana perbelanjaan awam yang diperhati rapi, setiap ringgit dana perlu justifikasi yang kukuh.
Integriti, ketelusan dan akauntabiliti menjadi fokus masyarakat. Proses yang jelas dan telus bukan sahaja mempercepatkan keputusan tetapi juga meminimumkan salah faham, memudahkan pemantauan dan memastikan standard perkhidmatan konsisten.
Pendekatan ini selari dengan Lonjakan 5 dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, yang menekankan tadbir urus tangkas dan berdaya tahan. IPT mesti bergerak pantas tetapi tetap stabil, bagi menghadapi gangguan teknologi, perubahan pasaran pekerjaan, keselamatan siber, bencana dan turun naik ekonomi.
Ketangkasan membolehkan universiti menyesuaikan diri dengan cepat tanpa mengorbankan kestabilan organisasi.
Untuk memperkukuh tadbir urus tangkas, universiti perlu menyusun semula proses supaya peranan dan tanggungjawab jelas, menyelaraskan prosedur merentas bahagian, memperkemas saluran komunikasi dalaman dan memperkukuh pendigitalan sistem supaya maklumat mudah diakses selain tidak berulang.
Budaya kerja berpasukan mesti dipupuk agar seluruh ekosistem bergerak seiring, dengan indikator prestasi yang jelas dan ruang maklum balas yang selamat untuk penambahbaikan.
Yang paling penting, ketangkasan bukan bermakna tergesa-gesa tetapi usaha pembaikan berterusan. Ia membolehkan universiti berkhidmat dengan lebih baik kepada pelajar, warga kampus, rakan industri dan masyarakat, sambil memperkukuh impak dan kepercayaan terhadap institusi. – UTUSAN
MOHAMAD AMIRUL MOHD. ADNAN ALI
Universiti Putra Malaysia










