USAHA memperkukuh literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terus diperkasa apabila sekumpulan penyelidik dari Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi inisiatif The Media Initiative (TMI) menganjurkan bengkel AiYOH yang bertujuan untuk memberikan penerangan dan pendedahan terhadap AI kepada para pelajar.
Pada edisi kali ini, bengkel yang berlangsung di UniSPARK, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melibatkan penyertaan seramai 30 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK).
Program ini memberi tumpuan kepada tahap kefahaman dan penerimaan pelajar terhadap modul literasi AI yang dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan mahasiswa dalam mendepani cabaran era digital yang semakin kompleks.
Pendedahan awal terhadap konsep, fungsi serta potensi teknologi AI dilihat penting bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing, malah bersedia memenuhi keperluan industri yang semakin bergantung kepada teknologi pintar.
Modul AiYOH turut menekankan aspek etika penggunaan AI, termasuk isu plagiarisme, penyebaran maklumat palsu serta implikasi penggunaan teknologi tanpa kawalan.
Pendekatan holistik ini bertujuan melahirkan pengguna teknologi yang bukan sahaja celik AI, tetapi juga berintegriti, bertanggungjawab dan beretika dalam membuat keputusan berkaitan penggunaan teknologi digital.
Kesemua bengkel di bawah inisiatif ini dianjurkan secara percuma bagi memastikan akses yang inklusif kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang akademik dan sosioekonomi, selari dengan aspirasi memperluas literasi digital secara menyeluruh.
Pelaksanaan bengkel ini dilihat amat signifikan dalam meningkatkan kefahaman pelajar terhadap penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab, khususnya dalam bidang komunikasi dan perhubungan awam.
Sehubungan itu, program ini diharapkan dapat diperluaskan ke fakulti serta institusi pengajian tinggi (IPT) lain sebagai usaha berterusan memperkasa literasi AI dalam kalangan mahasiswa selari dengan keperluan semasa dan tuntutan industri. – UTUSAN
DR. NAZRA ALIFF NAZRI & DR. MOHD. FARADI MOHAMED GHAZALI
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)










