Universiti pelaburan tidak ternilai untuk masa depan

Universiti pelaburan tidak ternilai untuk masa depan

UNIVERSITI tetap relevan bagi mereka yang ingin membina kerjaya profesional, memperoleh kemahiran insaniah dan meningkatkan peluang pekerjaan berkualiti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, sudah pastinya kegembiraan pelajar dan ibu bapa menjadi memori terindah.

Namun, fenomena membimbangkan muncul apabila statistik menunjukkan ramai calon tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pada 2024, seramai 6,246 calon tidak hadir menduduki SPM dan majoriti memilih bekerja kerana tuntutan ekonomi atau gaya hidup. Lebih membimbangkan, hampir 300,000 lepasan SPM tidak berminat ke institusi pengajian tinggi (IPT), menandakan perubahan paradigma dalam kalangan generasi muda.

Pekerjaan dalam ekonomi gig dan kerjaya sebagai pempengaruh media sosial menjadi tarikan utama. Peluang menjana pendapatan tanpa menempuh pengajian formal menarik minat pelajar. Namun, data menunjukkan pendapatan golongan ini sederhana dan ramai tidak mempunyai simpanan untuk masa hadapan.

Realiti fleksibiliti dan pendapatan tinggi sering kali jauh daripada jangkaan. Kerjaya pempengaruh juga tidak menjamin kestabilan jangka panjang, memerlukan kreativiti berterusan dan tiada pelan pembangunan kerjaya yang jelas.

Antara alasan utama lepasan SPM enggan melanjutkan pelajaran ialah persepsi pendidikan tinggi tidak menjamin gaji setimpal.

Kajian Graduate Choice Award 2024 menunjukkan majoriti graduan mengharapkan gaji permulaan RM3,000 hingga RM3,500, sedangkan realiti di pasaran kerja masih rendah.

Pulangan pendidikan bergantung pada bidang dengan kejuruteraan dan sains komputer menawarkan pulangan pelaburan (ROI) tinggi, manakala seni dan psikologi menghasilkan pulangan lebih rendah.

Ketidakpadanan kemahiran memburukkan keadaan apabila ramai graduan bekerja di luar bidang pengajian dan kadar pengangguran belia masih tinggi.

Namun, menilai pendidikan tinggi semata-mata dari segi ekonomi adalah satu kesilapan. Universiti bukan sekadar tempat memperoleh sijil tetapi ruang membina kemahiran insaniah penting seperti pemikiran kritis, komunikasi, penyelesaian masalah, kepimpinan dan kerja berpasukan.

Kemahiran ini sukar diperoleh melalui pekerjaan sementara atau media sosial. Kualiti pendidikan memberi impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara, menjadikannya pelaburan jangka panjang bukan sahaja untuk individu tetapi juga untuk pembangunan sosioekonomi.

Pendidikan tinggi juga membuka peluang mobiliti sosial. Gelaran akademik, kemahiran dan pengalaman pembelajaran membina keyakinan diri, meningkatkan kredibiliti dan memberi akses kepada peluang yang tidak tersedia bagi mereka yang hanya berhenti pada SPM.

Selain itu, pengaruh media sosial secara berlebihan menimbulkan persepsi palsu yang menjadi pempengaruh atau bekerja dalam ekonomi gig menjadi jalan mudah untuk berjaya. Realitinya, kebanyakan belia menghadapi ketidakstabilan pendapatan, tekanan berterusan dan kurang persediaan untuk masa hadapan.

Keputusan untuk melanjutkan pengajian harus dibuat dengan pertimbangan matang. Universiti tetap relevan bagi mereka yang ingin membina kerjaya profesional, memperoleh kemahiran insaniah dan meningkatkan peluang pekerjaan berkualiti.

Pilihan bidang yang tepat, pemanfaatan sepenuhnya peluang pembelajaran dan pemahaman nilai pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang adalah kunci.

Pendidikan tinggi bukan jaminan kekayaan segera tetapi membina nilai diri, membuka peluang dan mempersiapkan individu menghadapi dunia yang kompleks.

Ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui universiti tetap merupakan pelaburan yang tidak ternilai untuk masa hadapan. – UTUSAN

REFQAH SOFEA MOHD. SOFI & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×